Courtois (kiri) dijual harga rendah dan Mahrez pula terlebih bayar. FOTO Reuters
Courtois (kiri) dijual harga rendah dan Mahrez pula terlebih bayar. FOTO Reuters

PARIS: Satu kajian baharu yang dijalankan ke atas perpindahan musim panas di Liga Perdana Inggeris (EPL) mendedahkan - Chelsea dan Manchester City membayar nilai yang tidak sepatutnya terhadap dua pemain yang ditandatangani pasukan itu.

Menurut CIES Football Observatory, Chelsea didapati melepaskan penjaga golnya, Thibaut Courtois ke Real Madrid pada nilai yang lebih rendah berbanding harga sepatutnya.

Chelsea berdepan masalah pada awal musim panas ini apabila penjaga gol nombor satu mereka itu serius untuk memaksa perpindahannya ke Sepanyol apabila ‘menghilangkan diri’ pada sesi latihan.

Hasrat Courtois akhirnya menjadi kenyataan selepas Madrid membayar yuran perpindahan 35 juta pound (RM189 juta), namun jumlah itu dilihat 20.1 juta pound (RM108 juta) lebih rendah berbanding harga sepatutnya.

Chelsea membayar harga yang jauh lebih tinggi untuk penggantinya, Kepa Arrizabalaga selepas membayar Athletic Bilbao 72 juta pound (RM390 juta), yang melebihi 39.8 juta pound (RM215 juta) daripada nilai sepatutnya.

Kajian itu dibuat berdasarkan perspektif ekonomi ke atas perpindahan yang dijalankan pada jendela musim panas ini.

Menggunakan model sama, CIES menyimpulkan City juga ‘terlebih bayar’ bagi khidmat Riyad Mahrez yang menyertai pasukan itu dengan nilai 60 juta pound (RM325 juta), 3 juta pound (RM16 juta) lebih tinggi berbanding yang sepatutnya.

Laporan turut menyatakan perpindahan Lucas Torriera ke Arsenal disifatkan memberi nilai yang lebih baik berbanding penghijrahan Cristiano Ronaldo ke Juventus.

The Gunners mendapatkan pemain berusia 22 tahun itu dari Sampdoria dengan nilai 25 juta pound (RM135 juta), kurang 10.6 juta pound (RM57 juta) dari nilai sebenar pemian itu.

Perpindahan Ronaldo yang menelan belanja sehingga 105 juta pound (RM568 juta) bagaimanapun adalah kurang 10.2 juta pound (RM55 juta) berbanding nilai sebenarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 6:14 PM