SERENA (kanan) bertengkar dengan Ramos ketika aksi final Terbuka AS. -Foto AFP
SERENA (kanan) bertengkar dengan Ramos ketika aksi final Terbuka AS. -Foto AFP
AFP

LONDON: Carlos Ramos menerima pujian Persekutuan Tennis Antarabangsa (ITF) kerana bertindak secara profesional dan berintegriti selepas pengadil itu dilabel sebagai penipu dan perompak oleh Serena Williams ketika final Terbuka Amerika Syarikat.

Serena melancarkan perang mulut ke atas Ramos ketika dia tewas 2-6, 4-6 di tangan pemain sensasi Jepun, Naomi Osaka, Sabtu lalu.

Pemenang 23 kejuaraan Grand Slam itu dikenakan tiga kesalahan etika oleh Ramos – menerima arahan jurulatih, menghempas raket dan kata-kata kesat terhadap pengadil perlawanan.

Kesalahan kedua dan ketiga menyaksikan Serena dikenakan hukuman pemotongan mata dan kemudian penalti perlawanan sekali gus menyaksikan Naomi mendahului 5-3 pada set kedua yang selepas itu mengesahkan kejuaraan.

Serena memohon maaf kepada Ramos dan kemudian melabelkan hukuman itu sebagai berat sebelah kerana menganggap dia berjuang untuk hak wanita dan mendakwa pemain lelaki sering terlepas daripada dikenakan hukuman sebegitu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu kemudian mendapat sokongan Ketua Eksekutif WTA, Steve Simon serta pemain legenda, Billie-Jean King yang mempersoalkan kesalahan menerima arahan daripada jurulatih yang mencetuskan kemarahan Serena.

Bagaimanapun ITF, badan induk tenis dunia menegaskan Ramos berada di pihak yang betul untuk mengenakan hukuman penalti.

“Carlos Ramos seorang pengadil paling berpengalaman. Keputusan Ramos bertepatan dengan peraturan yang ditetapkan dan kami menyokong keputusan hukuman ke atas Serena Williams disebabkan tiga kesalahan.

“Insiden berpofil tinggi ini pasti akan mencetuskan perdebatan.

“Pada masa sama amat penting untuk memahami Ramos menggalas tugas selaku pengadil mengikut peraturan yang sudah ditetapkan dan bersikap profesional serta berintegriti sepanjang perlawanan,” menurut ITF dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 1:22 PM