BILLIE JEAN KING
BILLIE JEAN KING
Reuters

NEW YORK: Bekas pemain nombor satu dunia, Billie Jean King mengendurkan pendapatnya mengenai kontroversi Serena Williams yang dirasakannya tetap bersalah apabila tidak mengendahkan amaran pengadil, Carlos Ramos ketika aksi final Terbuka Amerika Syarikat Sabtu lalu.

Ramos bagaimanapun mampu mengelak perkara itu menjadi semakin parah dengan hanya memberikan amaran lembut kepada Serena berbanding pelanggaran kod etika ketika melihat jurulatih, Patrick Mouratoglou memberi isyarat pada perlawanan itu.

Serena diberi amaran dan pengurangan mata selepas dia mempersoalkan keputusan Ramos pada perlawanan akhir itu yang menyaksikan Naomi Osaka dari Jepun menang 6-2, 6-4.

“Serena tetap bersalah. Tidak perlu dipersoalkan lagi. Tiada siapa menyatakan dia mempunyai semangat kesukanan. Jika ada mungkin orang itu gila. Dia jelas agak keterlaluan dan dia mengetahuinya,” kata Billie Jean.

Kenyataan Billie Jean kepada CNN sebelum ini berbeza dengan komen awal kepada Washington Post bahawa Serena mempertahankan haknya dan beliau juga tidak mengkritik perangai pemain itu dalam gelanggang.

Billie Jean bagaimanapun berkata, Serena tidak sedar dia sudah dikenakan amaran pertama dan terkejut apabila matanya ditolak selepas amaran kedua.

Disebabkan penolakan mata itu Serena menyelar Ramos sebagai ‘perompak’ menyebabkan dia dikenakan amaran kali ketiga kerana lantang mengkritik pengadil seterusnya dikenakan penalti.

“Maknanya di sini keadaan menjadi lebih parah. Saya tidak menyerang anda, adalah perkara paling penting dia boleh lakukan. Saya rasa situasinya akan berbeza,” kata Billie Jean kepada CNN.

Billie Jean berkata, insiden itu memberi petanda perubahan perlu dilakukan dalam sukan itu termasuk membenarkan komunikasi terus antara pengadil dan penyokong menerusi pembesar suara dan membenarkan arahan dari jurulatih ketika perlawanan Grand Slam.

“Krisis memberi peluang untuk memperbaiki lagi sukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 September 2018 @ 1:00 PM