GRIEZMANN (kanan) anggap dirinya layak tersenarai tiga calon penerima Anugerah  Ballon d'Or. FOTO/AFP
GRIEZMANN (kanan) anggap dirinya layak tersenarai tiga calon penerima Anugerah Ballon d'Or. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Bintang Perancis Antoine Griezmann berkata, dia sepatutnya tersenarai tiga calon penerima Anugerah Ballon d'Or selepas menjuarai Piala Dunia dan merangkul trofi utama bersama Atletico Madrid.

Griezmann meraih tempat ketiga pada 2016 di belakang Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk anugerah individu paling berprestij dalam sukan bola sepak walaupun tidak menjuarai apa-apa trofi ketika itu.

Pada tahun itu Griezmann mengalami detik mengecewakan selepas Perancis tewas pada dua final, Euro 2016 dan Liga Juara-Juara bersama Atletico.

Tetapi musim ini menceriakan penyerang itu yang menjadi tonggak skuad Les Bleus menjuarai Piala Dunia di Russia selepas mengharungi saat manis di Atletico yang menjuarai Liga Europa dan Piala Super UEFA.

"Berbanding 2016 dan tahun ini, saya sepatutnya berada dalam senarai tiga teratas,” kata pemain berusia 27 tahun itu kepada akhbar harian sukan Perancis L'Equipe.

"Pada 2016, saya tewas dua final tetapi tersenarai tiga teratas. Kali ini saya menang tiga trofi.”

Ketika ditanya jika tak menang adakah ia tidak adil, Griezmann berkata, "Bukan tidak adil tetapi saya hairan apa lagi perlu saya lakukan. Saya menang tiga trofi, tetapi apa boleh buat, bukan saya membuat undian.”

Ronaldo dan Messi mendominasi Ballon d'Or sejak sedekad lalu dan bintang Portugal itu sekali lagi tersenarai selepas muncul juara Liga Juara-Juara bersama Real Madrid.

Griezmann mengakui memenangi anugerah berprestij itu cukup istimewa.

“Memenangi Ballon d'Or adalah pencapaian terbaik sebagai pemain. Anda mungkin menjuarai Piala Dunia dan Euro tetapi ia tidak sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 10:07 PM