KHAIRULNIZAM (kanan) kecewa gagal raih emas buat negara. -Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR
KHAIRULNIZAM (kanan) kecewa gagal raih emas buat negara. -Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy masih terkesan dengan kegagalan memenangi pingat emas Sukan Asia 2018 apabila mengakui masih belum dapat menerima kekalahan final di tangan juara dunia dari Korea Selatan, Ha Jee Min.

Harga mahal itu terpaksa dibayar jaguh pelayaran negara berusia 25 tahun itu berikutan satu kesilapan yang menyebabkan botnya terbalik dalam perlumbaan terakhir laser untuk sekali lagi perlu berpuas hati dengan pingat perak.

“Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati berbanding prestasi saya di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tetapi masih ada ruang untuk ditingkatkan lagi.

“Namun, sehingga kini kekecewaan itu masih terngiang-ngiang di fikiran saya kerana perbezaan mata kami hanya sedikit. Ia pengajaran berguna untuk saya selepas edisi 2014 Incheon, kerana ketika itu, saya turut tewas kepadanya di final,” kata Khairulnizam.

Bagaimanapun, kepedihan ditanggung Khairulnizam sedikit terubat apabila dia muncul atlet pertama dari Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 hasil pingat perak yang dituainya di temasya Indonesia.

Asalnya, hanya pemenang pingat emas yang akan meraih tiket automatik ke Tokyo. Tetapi gara-gara Jee Min terlebih dahulu mengesahkan tempatnya di Kejohanan Dunia di Denmark, bulan lalu, slot pemenang Asia kini bertukar tangan kepada Khairulnizam.

Lantas, kelebihan meraih tiket awal ke Sukan Olimpik itu mahu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Khairulnizam yang nekad memperbaiki pencapaian di Rio 2016, di mana dia berakhir di kedudukan ke-38 daripada 45 pelayar.

“Memang kejayaan mara awal ini adalah satu kelebihan kerana bagi edisi Rio 2012 dan London 2012 saya hanya mara kira-kira tiga atau empat bulan sebelum temasya bermula.

“Jadi, apabila apabila bertanding di temasya itu, tidak banyak yang boleh dilakukan. Kali ini saya mempunyai tempoh dua tahun (untuk persiapan). Boleh menyusun program dengan lebih cantik termasuk ke Jepun lebih awal untuk menyesuaikan diri dengan keadaan laut di sana,” katanya.

Sebagai persediaan awal, dia mungkin akan ke kem latihan bersama-sama pelayar terbaik Eropah selama tiga minggu di Gran Canaria, Sepanyol pada Oktober ini sebelum menyertai pertandingan di Australia pada Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:42 AM