VETTEL (kiri) dan Hamilton jadi seteru utama saingan GP Itali.
VETTEL (kiri) dan Hamilton jadi seteru utama saingan GP Itali.
AFP

Monza, Itali: Lewis Hamilton memasang impian untuk melebarkan lagi rekodnya di petak utama selain mahu memintas Sebastian Vettel di kedudukan teratas senarai pelumba di Grand Prix Itali minggu ini.

Ketika juara empat kali, Vettel mahu melakar kemenangan pertama di litar Ferrari Ahad ini, pesaing utamanya itu pula berazam untuk menang buat kali ketiga sepanjang empat tahun beraksi di Autodromo Nazionale.

Hamilton pernah memenangi aksi di Itali tiga kali secara keseluruhan dan setiap kali itulah dia memulakan perlumbaan di petak utama sekali gus membuatkan dia yakin mampu mencipta satu lagi kemenangan jika dapat bermula di kedudukan berkenaan.

Dia akan berusaha melonjakkan catatan itu kepada empat perlumbaan terutama selepas menyamai rekod 68 kedudukan di petak utama yang dilakar Michael Schumacher di Belgium.

Jika dia berjaya dan menang, pelumba Britain itu akan mendahului senarai pelumba buat kali pertama musim ini.

Ketika ini, dia sudah memenangi lima perlumbaan berbanding empat yang dikuasai Vettel tetapi selepas saingan sengit yang berlaku minggu lalu, tidak ada sesiapa yang boleh menarik nafas lega.

“Ferrari memiliki jentera yang lebih baik dan apa yang kami perlu lakukan ialah berusaha memastikan kami berada di depan pada perlumbaan kali ini,” kata Hamilton.

Selepas Vettel membuat keputusan untuk melanjutkan kontraknya selama tiga tahun di Ferrari, Hamilton pula meluahkan hasrat untuk terus kekal di Mercedes tetapi pasukannya mahu melengahkan perbincangan mengenai kontrak baru hingga hujung musim.

Hamilton masih mempunyai baki kontrak hingga hujung tahun depan bersama Mercedes tetapi dia sedia untuk melanjutkan komitmennya bersama pasukan.

Kapten pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata bahawa beliau mahu terus mengekalkan Hamilton tetapi pihaknya akan menunggu masa terbaik sebelum memulakan perbincangan.

“Hubungan kami agak baik dan saya rasa kami saling menghargai antara satu sama lain,” kata Wolff.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 11:19 AM