PEMAIN Moenchengladbach meraikan kejayaan membelasah pasukan kerdil, Hastedt 11-1 pada aksi Piala Jerman. FOTO EPA
PEMAIN Moenchengladbach meraikan kejayaan membelasah pasukan kerdil, Hastedt 11-1 pada aksi Piala Jerman. FOTO EPA
AFP

BERLIN: Alassane Plea, Thorgan Hazard dan Raffael masing-masing meledak hatrik untuk membolehkan Borussia  Moenchengladbach berkenduri gol membelasah pasukan kerdil, Hastedt 11-1 dalam aksi Piala Jerman, awal pagi tadi.

Gladbach pantas mendahului 3-0 dalam tempoh 15 minit dalam aksi di gelanggang pasukan divisyen lima itu, dan menjarakkan kedudukan kepada 6-0 sebaik berakhir babak pertama.

Bekas penyerang bawah 21 (B-21) tahun Perancis, Plea yang ditandatangani dengan harga 25 juta euro (RM117.2 juta) bulan lalu, meraikan tiga jaringan pada kemunculan kompetitifnya itu.

“Anda boleh melihat kami mampu menterjemahkan aksi memukau, kami tidak terus berhenti selepas rehat dan ia adalah hari minggu yang hebat,” kata Jonas Hoffmann yang meledak satu daripada tiga lagi gol lain.

“Berdepan Leverkusen, akan menjadi perlawanan yang berbeza,” katanya dengan Gladbach dijadual bertemu Bayer Leverkusen dalam aksi pembukaan Bundesliga pada Sabtu ini.

Berdepan Hastedt yang mempunyai barisan pertahanan terhad, aksi Piala Jerman itu bertukar menjadi medan latihan bagi mempertingkatkan sentuhan penyudah pasukan Bundesliga itu.

Tidak mahu tenggelam disebalik kehadiran Plea, penyerang antarabangsa Belgium, Hazard yang juga adik kepada bintang Chelsea Eden, turut mencetak hatrik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 8:28 AM