ROBERT Lewandowski (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
ROBERT Lewandowski (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Monchengladbach: Robert Lewandowski menyamakan kedudukan untuk juara bertahan, Bayern Munich ketika seri 1-1 di Borussia Moenchengladbach pada perlawanan pembukaan Bundesliga yang berlangsung sengit, hari ini.

"Kami gagal mempamerkan aksi yang sempurna," kata Lewandowski kepada stesen penyiar Sat1.

"Kami melakukan banyak kesilapan tetapi perlawanan pertama sudah berakhir. Kini kami perlu beri tumpuan kepada perlawanan seterusnya."

Gladbach mendahului perlawanan selepas rembatan penyerang Perancis, Alassane Plea berjaya menewaskan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer selepas 10 minit permainan.

Lewandowski menyamakan kedudukan sebelum berakhir babak pertama namun kedua-dua pasukan mensia-siakan banyak peluang di separuh masa kedua untuk cuba mencipta kemenangan.

Pada satu ketika, penjaga gol Gladbach, Yann Sommer menyelamatkan cubaan berbahaya Lewandowski di babak kedua.

Jurulatih baharu Bayern, Julian Nagelsmann masih menantikan kemenangan pertama selepas tiga kekalahan dan seri ketika aksi persahabatan pra musim.

Pengendali berusia 34 tahun itu berdepan tekanan untuk memastikan kejuaraan Bundesliga ke-10 berturut-turut diraih Bayern pada musim pertamanya membimbing kelab itu.

"Kami perlu akur dengan satu mata kerana kedua-dua pasukan memperoleh peluang terbaik. Ia juga perlawanan yang sukar bagi kedua-dua jurulatih," kata Nagelsmann kepada DAZN.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 8:06 AM