PEMAIN Korea Selatan Hwang Hee-chan (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Bahrain Husain Alkhayyat (kiri) dan Mohammed Sayed Shubbar. -Foto AFP
PEMAIN Korea Selatan Hwang Hee-chan (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Bahrain Husain Alkhayyat (kiri) dan Mohammed Sayed Shubbar. -Foto AFP
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Korea Selatan memberi amaran awal kepada skuad negara menjelang pertemuan Jumaat ini apabila membelasah Bahrain 6-0 pada perlawanan pertama Kumpulan E saingan Sukan Asia Jakarta-Palembang, sebentar tadi.

Pasukan pilihan itu sudah berpesta lima gol pada babak pertama di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung dengan penyerang Gamba Osaka Hwang Ui-jo meledak hatrik pada minit ke-17, 36 dan 43.

Dua lagi gol dihasilkan oleh Kim Jinya pada minit ke-23 dan Na Sang-ho (m-41) meskipun penyerang sensasi yang beraksi dengan Tottenham Hotspur, Son Heung Min hanya memanaskan bangku simpanan.

Pengendali Korea Selatan, Kim Hak-bum kemudian melakukan beberapa pertukaran pada separuh masa kedua dengan Bahrain  terus ketandusan idea untuk menembusi kubu lawan.

Penyerang gantian Hwang Hee Chan melengkapkan kemenangan bergaya Korea Selatan dengan meledak gol menarik menerusi sepakan percuma pada minit ke-93.

Kemenangan itu membolehkan Korea Selatan berkongsi tiga mata bersama Malaysia namun memiliki kelebihan jaringan untuk menduduki tangga teratas kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 12:49 AM