Penyerang Uruguay, Luis Suarez dicabar pemain Korea Selatan pada aksi Piala Dunia. FOTO AFP
Penyerang Uruguay, Luis Suarez dicabar pemain Korea Selatan pada aksi Piala Dunia. FOTO AFP
AFP

Doha: Kemunculan semula Son Heung-min tidak dapat memberikan inspirasi kepada Korea Selatan tatkala skuad Harimau Asia itu terikat 0-0 dalam saingan Kumpulan H Piala Dunia berdepan Uruguay.

Kapten Uruguay, Diego Godin dan pemain tengah Real Madrid, Federico Valverde hampir memecahkan kebuntuan jaringan namun percubaan mereka terkena tiang di kedua-dua babak permainan.

Sementara Hwang Ui-jo melepaskan peluang terbaik Korea Selatan menerusi rembatannya yang tersasar keluar.

Peluang nyata kurang bukan saja buat pasukan disertai Heung-min tetapi juga Uruguay yang turut menyenaraikan penyerang berbisa seperti Luis Suarez, Darwin Nunez dan Edinson Cavani itu.

Bagaimanapun kedua-dua jurulatih berpuas hati dengan satu mata yang diraih pasukan.

"Ini adalah perlawanan yang sangat bagus buat kami. Kami beraksi baik di babak pertama. Ada banyak waktu di mana kami mengawal permainan.

"Selepas babak pertama, kami tidak berada di tahap terbaik. Kami sedikit menurun kerana mereka mempunyai pemain berkualiti tinggi tetapi kami juga dapat melakukan yang terbaik dalam situasi itu," kata pengendali Korea Selatan dari Portugal, Paulo Bento.

Sementara itu, pengendali Uruguay, Diego Alonso berkata ia perlawanan yang baik dan sengit dengan kedua-dua negara menunjukkan saingan kompetitif.

"Pada babak pertama, terutama pada 20 minit awal, kami sedikit bergelut. Namun ia sesuatu yang baik apabila kami dapat mengatasi masalah itu dan menguasai babak kedua." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 1:50 AM