RANGEL (tengah) mahu KFA buat keputusan. FOTO/FAIL
RANGEL (tengah) mahu KFA buat keputusan. FOTO/FAIL
Rodly Fadly


NASIB Paulo Rangel bersama pasukan Kedah akan diputuskan oleh Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sekali pun jurulatih, Nidzam Adzha Yusof sudah ‘berpatah arang, berkerat rotan’ dengan penyerang import dari Brazil itu.

Naib Presiden KFA, Khamal Idris Ali berkata, mereka akan mempertimbangkan baik buruk keputusan yang bakal diambil dengan kepentingan pasukan menjadi keutamaan.

Menurut Khamal, walaupun Nidzam sudah membuat keputusan tidak akan menggunakan lagi khidmat Rangel dalam baki perlawanan Piala Malaysia musim ini namun beliau menegaskan kata putus terletak di tangan KFA.

“Sebagai jurulatih, Nidzam sudah tentu mempunyai pandangan tersendiri. Namun, kami, sebagai ahli majlis akan mempertimbangkan terlebih dahulu serta membuat keputusan muktamad.

“Banyak aspek perlu diambil kira sebelum sesuatu keputusan diambil demi kepentingan pasukan apatah dalam keadaan prestasi Kedah yang tidak menentu sekarang.

“Kita kena fikir adakah tindakan merehatkan Rangel suatu keputusan tepat dalam keadaan pasukan sedang tenat sedangkan gajinya tetap perlu dibayar sehingga penghujung November ini,” katanya.

Walau bagaimanapun Khamal menegaskan, ia bukan bermakna KFA akan berkompromi soal disiplin pemain sebaliknya tindakan perlu diambil selaras dengan kepentingan pasukan.

Nidzam melalui satu kenyataan selepas kekalahan 1-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Jumaat lalu mengambil pendirian tegas tidak akan menurunkan lagi Rangel dalam baki perlawanan Piala Malaysia selepas pemain itu menunjukkan sikap besar kepala sebelum perlawanan itu.

Menurut Nidzam, Rangel enggan memanaskan badan bersama rakan sepasukan apabila mengetahui dia tidak berada dalam kesebelasan utama. Malah, pemain itu menunjukkan sikap tidak profesional apabila tidak bersalam dengan barisan pegawai pasukan Kedah sebaliknya duduk di bangku seorang diri.

Khamal mengesahkan KFA akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan prestasi pasukan Kedah dengan kedudukan Rangel akan turut diputuskan.

“KFA perlu melakukan sesuatu sebelum segala-galanya terlambat kerana Kedah masih mempunyai peluang untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia dengan syarat bangkit dalam baki empat perlawanan bermula dengan pertemuan dengan MIFA, Sabtu ini,” ujar Khamal.

Juara Piala Malaysia 2016 itu kini menduduki tangga tercorot Kumpulan C selepas mengutip hanya satu mata hasil keputusan seri 0-0 dengan Kelantan sebelum dibelasah 1-5 oleh JDT.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Ogos 2018 @ 11:52 AM