TSITSIPAS berpeluang menduduki ranking nombor satu dunia. FOTO AFP
TSITSIPAS berpeluang menduduki ranking nombor satu dunia. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Stefanos Tsitsipas berkata dia terus memasang impian yang tinggi selepas mara ke final Terbuka Australia buat kali pertama dan berada di landasan yang tepat untuk bergelar pemain nombor satu dunia.

Pilihan ketiga dari Greece itu menunjukkan semangat luar biasa mengecewakan pemain Russia, Karen Khachanov seterusnya menempah tempat ke perlawanan akhir menentang juara sembilan kali di Melbourne, Novak Djokovic.

Pilihan ke-18 Khachanov memberi ancaman kepada Tsitsipas selepas menyelamatkan dua mata perlawanan untuk membawa perlawanan ke set keempat sebelum Tsitsipas menamatkan perlawanan dengan kemenangan 7-6 (7/2), 6-4, 6-7 (6/8), 6-3.

Sementara itu Djokovic mempamerkan aksi mantap untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka Australia yang ke-10 dan mengejar kejuaraan Grand Slam ke-22 dan kini Tsitsipas bakal menjadi penghalangnya.

Pilihan keempat dari Serbia bangkit dari aksi goyah di set pertama untuk menewaskan pemain bukan pilihan dari Amerika, Tommy Paul 7-5, 6-1, 6-2 di Rod Laver Arena dengan bergaya.

Tsitsipas boleh menguasai ranking dunia jika dia memenangi mahkota Grand Slam pertamanya esok.

"Saya memasang impian ketika saya masih kanak-kanak untuk satu hari nanto boleh bermain di gelanggang ini menentang pemain terbaik dunia," kata Tsitsipas selepas memenangi separuh akhir Terbuka Australia pada percubaan keempat.

"Jadi saya gembira dengan perjuangan saya hari ini. Saya berasa dirahmati, diberkati kerana saya dapat bermain tenis pada tahap ini.

Pada usia 24 tahun, Tsitsipas adalah lelaki termuda mara ke final Terbuka Australia sejak Djokovic berusia 23 tahun pada 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 8:43 PM