Griezmann (tengah) menjaringkan gol menentang Alaves. FOTO AFP
Griezmann (tengah) menjaringkan gol menentang Alaves. FOTO AFP

MADRID: Atletico Madrid melonjak ke tangga kedua La Liga selepas meraih kemenangan 3-0 ke atas pasukan di tangga keempat, Alaves dan berkongsi 28 mata dengan pendahulu, Barcelona.

Nikola Kalinic, Antoine Griezmann dan Rodri meledak jaringan untuk Atletico dalam pertembungan sengit menentang lawan yang semakin meningkat, namun skuad bimbingan Diego Simeone cukup tajam di depan gol untuk meraih tiga mata.

Penyerang Croatia, Kalinic membuka tirai jaringan pada minit ke-24, - dengan menolak bola menggunakan perut selepas menerima hantaran silang Santiago Arias dan jaringan itu adalah yang pertama buatnya sejak berpindah dari AC Milan.

Bagaimanapun Atletico turut menerima berita malang apabila pemain pertahanan, Lucas Hernandez dibawa keluar akibat kecederaan lutut.

Namun penjaga gol mereka, Jan Oblak muncul selaku pemain paling sikit memegang bola selepas Alaves bergelut mencipta serangan di babak pertama.

Dalam pertembungan tadi, pemain pertahanan, Jose Gimenez hampir menggandakan jaringan buat Atletico, namun tandukannya terkena tiang gol selepas menerima bola tendangan sudut Thomas Lemar.

Kemudian, Griezmann menjaringkan gol kedua melalui satu tolakan mudah ke gawang, sebelum Rodri melengkapkan kemenangan menerusi gol ketiga. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 11:10 PM