PAUL Scholes. Foto/AMA (Getty Images)
PAUL Scholes. Foto/AMA (Getty Images)
Agensi

BEKAS pemain antarabangsa England, Paul Scholes percaya kejayaan negaranya menjadi satu daripada empat pasukan merebut kejuaraan Piala Dunia adalah disebabkan pengaruh Pep Guardiola dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut bekas bintang Manchester United itu, kemampuan kelab musuh setempat, City mempamerkan gaya permainan bola sepak terbaik dalam liga bukannya kebetulan sebaliknya adalah sentuhan Guardiola.

"Gareth Southgate bertemu Pep (Guardiola) dan mahu mengetahui bagaimana beliau membentuk gaya permainan bola sepak seperti itu," kata Scholes kepada beIN Sports.

"Guardiola sememangnya memberi pengaruh kepada skuad kebangsaan. Anda boleh lihat bagaimana cara tiga pemain pertahanan tengah dan penjaga gol kita bermain.

"Sebagai penyokong England dan bekas pemain England, kami mahu melihat permainan bola sepak terbaik."

"Sepanyol mempamerkan permainan bola sepak terbaik. Manchester City juga memiliki permainan bola sepak terbaik. Jadi mengapa kita tidak mengikut gaya permainan seperti itu?"

Guardiola tidak menunggu lama untuk mencetuskan impak bersama City selepas meninggalkan Barcelona dan Bayern Munich apabila membantu skuad The Citizens itu merangkul gelaran EPL dan Piala Liga musim lalu.

Malah, beliau turut diberikan pujian bukan saja penyokong sendiri sebaliknya peminat bola sepak dunia dengan gaya permainan menarik City.

Empat pemain City iaitu Raheem Sterling, Kyle Walker, John Stones menjadi tonggak utama skuad Three Lions mara ke separuh akhir Piala Dunia di Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 9:39 AM