PEP Guardiola (dua dari kiri) bersama staf kejurulatihan skuad City ketika berjaya membimbing pasukan itu menjuarai Liga Perdana Inggeris. FOTO Reuters
PEP Guardiola (dua dari kiri) bersama staf kejurulatihan skuad City ketika berjaya membimbing pasukan itu menjuarai Liga Perdana Inggeris. FOTO Reuters
Agensi

MANCHESTER, England: Sepanyol muncul juara dunia buat kali pertama pada 2010 dengan teras pasukan itu dibarisi pemain Barcelona yang dibimbing Pep Guardiola.

Gerard Pique, Carles Puyol, Andres Iniesta, Xavi Hernandez, Victor Valdes, Sergio Busquets dan Pedro Rodriguez semuanya adalah tonggak pasukan ketika menjulang kejuaraan di Afrika Selatan ketika Guardiola baru saja menamatkan musim kedua di Nou Camp. Empat tahun kemudian Guardiola beralih angin.

Beliau menyertai Bayern Munich dan Jerman kemudian dinobat sebagai juara dunia di Brazil.

Ia bukan kejayaan mengejutkan apabila kebanyakan pemain dalam skuad itu adalah pemain yang bersama Guardiola di Bayern iaitu Manuel Neuer, Bastian Schweinsteiger, Thomas Mueller, Philipp Lahm, Toni Kroos, Mario Goetze dan Jerome Boateng.

Teras kejayaan pasukan dalam dua Piala Dunia terakhir adalah anak buah Gurdiola yang memberikan impak bukan saja di peringkat kelab malah di pentas antarabangsa.

Bukan itu saja, pemain bimbingannya menjadi watak cukup penting pada dua aksi final itu dengan Iniesta meledak gol kemenangan pada 2010 manakala Goetze pada 2014.

Kini pada 2018, sejarah boleh berulang kembali. Meskipun tidak ramai pemain England bermain di bawah pengurus dari Catalan itu, namun pengaruhnya tetap dirasai.

“Guardiola sememangnya memberi pengaruh dalam skuad kebangsaan England,” kata bekas pemain tengah Manchester United, Paul Scholes.

Kyle Walker, John Stones, Fabian Delph dan Raheem Sterling adalah pemain yang mendapat bimbingan Guardiola di Manchester City.

“Anda boleh lihat bagaimana cara permainan tiga pemain pertahanan tengah dan penjaga gol,” ujar Scholes.

England kini memburu kejuaraan kedua Piala Dunia apabila bertemu Croatia pada separuh akhir, awal pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 11:48 PM