Dries Mertens terpelanting dicabar Luis Rodriguez (kiri). FOTO Reuters
Dries Mertens terpelanting dicabar Luis Rodriguez (kiri). FOTO Reuters
Reuters

SAINT PETERSBURG: Pemain tengah Panama, Jose Luis Rodriguez percaya England tidak menghadirkan ancaman sebesar Belgium yang menewaskan pasukan Amerika Tengah itu 3-0 pada aksi pembukaan Piala Dunia, Isnin lalu.

Pertama kali beraksi di kancah Piala Dunia, Panama berjaya menghalang Belgium yang dianggap antara calon juara daripada meledak gawang mereka sepanjang babak pertama sebelum dikecewakan oleh jaringan Dries Mertens dan dua gol Romelu Lukaku.

Kemenangan menyaksikan Belgium yang menghuni ranking tiga dunia mengisi tangga teratas Kumpulan G dengan Panama tercorot lantas mengharapkan keputusan positif dapat dicapai ketika menentang England, Ahad ini.

“Bagi saya, Belgium lawan lebih sukar berbanding England,” kata Rodriguez memetik kenyataannya kepada akhbar The Telegraph.

“England adalah pasukan besar dengan ramai pemain berkualiti tetapi kami akan cuba untuk menang. Saya menonton perlawanan Liga Perdana Inggeris setiap minggu. Sangat teruja untuk bermain menentang mereka dan kami akan cuba beraksi dengan baik.

“Pasti sukar untuk menyekat England, kami perlu tersusun, tetapi kami akan terus menggunakan pendekatan (fizikal) yang sama menentang mereka dan cuba untuk menang.”

Pengurus Belgium, Roberto Martinez meluahkan kebimbangan betapa terjahan keras yang dilakukan pemain Panama boleh memberi risiko kecederaan tetapi pertahanan, Roman Torres berkata mereka akan terus beraksi dengan agresif bagi mengimbangi corak permainan pantas England.

“Bola sepak adalah seperti itu, kamu sentiasa menonjolkan diri kamu, kamu perlu memberi tanda yang ini adalah kawasan kamu,” katanya. “Saya rasa kami bersaing dengan baik menentang Belgium.”

England ketika ini menghuni tangga kedua kumpulan selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tunisia, Isni lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 5:14 PM