MESSI berjaya merangkul gelaran Anugerah Terbaik Fifa. FOTO AP
MESSI berjaya merangkul gelaran Anugerah Terbaik Fifa. FOTO AP
AFP

Paris: Lionel Messi meraih Anugerah Terbaik Fifa 2022 selepas berjaya membantu Argentina muncul juara Piala Dunia dan pemain Sepanyol, Alexia Putellas mengekalkan kemenangan untuk kategori wanita pada majlis berkenaan di Paris.

Messi mengetepikan rakan-sepasukannya di Paris Saint Germain (PSG) dan seteru perlawanan akhir Piala Dunia, Kylian Mbappe, manakala pemenang Ballon d'Or, Karim Benzema adalah seorang lagi calon untuk anugerah berkenaan.

Ia adalah kali kedua Messi memenangi anugerah yang diperkenalkan Fifa pada tahun 2016 selepas badan induk bola sepak dunia itu menamatkan kerjasama dengan penganjur Ballon d'Or, France Football.

Anugerah yang diundi oleh kapten dan jurulatih pasukan kebangsaan, wartawan serta peminat itu, menobatkan Messi sebagai pemenang selepas bekas bintang Barcelona itu melengkapkan karier gemilangnya dengan kejayaan di Piala Dunia tahun lalu.

Messi menjaringkan dua gol dalam aksi final di Doha ketika Argentina menewaskan Perancis menerusi penentuan penalti, tatkala Mbappe menjaringkan hatrik untuk Les Bleus bagi mengikat kedudukan 3-3.

Dia turut meraih Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan, mengatasi Mbappe yang muncul penjaring terbanyak dengan lapan gol, satu jaringan mengatasi Messi.

"Tahun ini memang tidak masuk akal buat saya, mencapai impian yang saya perjuangkan selama ini. Akhirnya saya berjaya meraihnya dan ia perkara paling indah dalam karier.

"Ia adalah impian setiap pemain bola sepak tetapi hanya sedikit yang mampu mencapainya," kata Messi selepas menerima anugerah berkenaan.

Sementara itu, Putellas mengekalkan anugerah untuk kategori wanita walaupun tidak beraksi sepenuhnya musim lalu akibat kecederaan.

Kejayaan Argentina di Piala Dunia Qatar turut menobatkan Lionel Scaloni sebagai jurulatih terbaik pasukan lelaki dan Emiliano Martinez memenangi anugerah penjaga gol lelaki terbaik.

Pengendali skuad wanita England yang memenangi Kejuaraan Eropah, Sarina Wiegman dari Belanda meraih anugerah jurulatih terbaik wanita manakala Mary Earps dinobatkan penjagol gol wanita terbaik.

Pemain Poland, Marcin Oleksy yang kudung sebelah kaki, mengungguli Anugerah Puskas untuk gol terbaik sepanjang tahun lalu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 8:04 AM