KEHADIRAN penyokong meniupkan semangat pasukan yang bertanding di Piala Dunia. Foto EPA-EFE
KEHADIRAN penyokong meniupkan semangat pasukan yang bertanding di Piala Dunia. Foto EPA-EFE
AFP

HANYA enam negara yang pernah memenangi Piala Dunia sejak 50 tahun lalu layak ke pusingan kedua sekaligus meningkatkan lagi kemungkinan aksi final di Russia menampilkan muka baru selepas tamat peringkat kumpulan.

Pada peringkat kumpulan, hanya satu perlawanan yang berkesudahan seri tanpa jaringan tetapi jumlah penalti yang dihadiahkan pengadil meningkat secara mendadak.

Bagaimanapun, apa yang paling menarik di peringkat itu adalah kegagalan Jerman ke pusingan kedua - catatan pertama dalam tempoh 80 tahun.

Justeru, selepas semua drama peringkat kumpulan berakhir pagi tadi, pasukan manakah yang sedia untuk melangkah jauh di pusingan kalah mati?

Dalam enam pasukan yang pernah menjulang trofi sejak 1970 itu, Perancis dan Argentina akan bertemu sesama sendiri dan pastinya jumlah berkenaan akan semakin berkurang menjelang aksi suku akhir.

Sepanyol dan Brazil pula berjaya mengungguli pasukan masing-masing buat kali ke-10 berturut-turut walaupun pada awalnya mereka bermula perlahan.

“Harapan besar diletakkan ke atas pasukan saya kerana apa yang kami lakukan di sepanjang aksi kelayakan dan persahabatan. Tetapi kini kami di Piala Dunia dan ia langsung tidak sama dengan apa yang kami harungi sebelum ini,” kata jurulatih Brazil, Tite.

Saingan 16 pasukan terakhir kini terarah kepada pertembungan Perancis dengan Lionel Messi serta Argentina - dua pasukan yang agak bergelut di peringkat kumpulan dan Argentina dianggap bernasib baik untuk layak.

“Kami tidak bermula dengan baik. Kami boleh dikatakan berada dalam masalah,” akui Javier Mascherano manakala jurulatih Perancis, Didier Deschamps dilihat masih lagi belum mendapat aksi terbaik anak buahnya setakat ini.

Argentina mungkin pasukan paling gembira apabila Jerman tersingkir kerana pasukan itulah yang mengalahkan mereka dalam tiga edisi Piala Dunia sebelum ini.

Terdapat 10 pasukan Eropah yang layak ke pusingan kalah mati kali ini dan hanya satu pasukan yang pernah memenangi Piala Dunia di luar benua mereka sendiri iaitu Brazil pada 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 9:39 AM