PEMAIN Brazil jalani latihan sebelum  bertemu Colombia. -Foto AFP
PEMAIN Brazil jalani latihan sebelum bertemu Colombia. -Foto AFP
Reuters

SAO PAULO: Jurulatih Brazil, Tite melakukan empat pertukaran pemain dalam pasukannya menentang pasukan tangga kedua Colombia pada aksi kelayakan Piala Dunia awal pagi esok dengan pemain Liga Perdana, Fernandinho dan Roberto Firmino antara yang berada dalam kesebelasan utama.

Fernandinho dari Manchester City akan menggantikan Casemiro di bahagian tengah manakala Firmino dari Liverpool akan mengambil alih tempat Gabriel Jesus di bahagian serangan.

Thiago Silva pula dijangka menggantikan pertahanan tengah yang cedera Miranda manakala Filipe Luis menjadi pilihan tampil di pertahanan kiri di tempat Marcelo yang digantung perlawanan.

Willian akan mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama yang menewaskan Ecuador 2-0 minggu lalu sekalipun Philippe Coutinho dijangka melakukan penampilan, ujar Tite.

“Jawapannya adalah memperkasakan pasukan,” kata Tite menjelang perlawanan di Barranquilla. “Mengekalkan posisi dan peranan tapi dengan sedikit kelainan dari segi karakter.

“Kami mahu mengukuhkan pasukan ini, kami tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan.”

Brazil sudah layak ke pusingan akhir di Russia dan tidak kalah dalam sembilan aksi kelayakan sejak Tite menggantikan Dunga pada Jun 2016.

Ketika pasukan utama dan corak taktikal dilihat sudah dipastikan, beliau menyedari kini berpeluang menguji pemain lain dan menambah baik pasukannya menjelang pusingan akhir tahun depan.

Empat pasukan teratas daripada kelayakan zon Amerika Selatan layak secara automatik ke Russia dengan pasukan tangga kelima berdepan sama ada New Zealand atau Kepulauan Solomon pada aksi playoff.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2017 @ 12:16 PM