PEMINAT bola sepak Nigeria suram selepas tewas kepada Argentina. FOTO/AFP
PEMINAT bola sepak Nigeria suram selepas tewas kepada Argentina. FOTO/AFP
Reuters

LAGOS: Penyokong bola sepak Nigeria meluahkan kekecewaan selepas menyaksikan pasukan mereka tersingkir daripada Piala Dunia susulan gol Argentina pada akhir perlawanan.

Perlawanan itu menentukan siapa bakal melepasi Kumpulan D ke peringkat kalah mati dan memastikan sama ada bintang Argentina Lionel Messi yang dianggap sesetengah peminat bola sepak sebagai terbaik dunia akan terus memainkan watak penting di Russia.

Nigeria begitu hampir layak ke pusingan berikutnya sebelum pertahanan Argentina Marcus Rojo meledak voli hantaran Gabriel Mercado pada minit ke-86 untuk memberikan pasukan Amerika Selatan itu kemenangan 2-1 dan laluan ke 16 pasukan terakhir di mana mereka akan menentang Perancis.

“Kecewa… kami mensia-siakan dua peluang gol hebat yang sepatutnya meletakkan kami di kedudukan terbaik,” kata Kelechukwu Mgbeahuruike, yang menyaksikan perlawanan itu di kawasan terbuka di Lagos.

“Argentina terus bersemangat untuk bangkit kerana mereka sedar mereka masih mampu melakukannya,” katanya merujuk pada ketika di mana penalti Nigeria yang disempurnakan Victor Moses menjadikan kedudukan 1-1 selepas Messi membuka jaringan.

Keputusan seri sudah memadai untuk negara Afrika Barat itu mara ke peringkat kalah mati kejohanan itu.

Pasukan itu yang membuat penampilan ke-6 mereka di Piala Dunia, mara ke peringkat 16 terakhir di Brazil empat tahun lalu.

Seluruh Nigeria membayangkan harapan pasukan itu melepasi Kumpulan D yang dianggap antara paling mencabar dalam kejohanan itu apabila meletakkan Argentina, Croatia, Iceland dan Nigeria dalam kumpulan sama.

Pembantu kedai Femi Ogundeji meluahkan kemarahannya berikutan keputusan pengadil yang tidak memberikan penalti kepada Argentina pada separuh masa kedua.

“Ia memang jelas. Semua orang boleh melihat bahawa berlaku sentuhan bola (oleh Rojo) dan sepatutnya diberikan penalti. Ia sungguh menyakitkan. Kami sepatutnya seri dan mungkin berada dalam aksi 16 terakhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 9:19 AM