RAMIREZ gagal bimbing Costa Rica lebih jauh dalam Piala Dunia 2018. FOTO/AFP
RAMIREZ gagal bimbing Costa Rica lebih jauh dalam Piala Dunia 2018. FOTO/AFP
AFP

NIZHNIY NOVGOROD: Jurulatih Costa Rica, Oscar Ramirez mengakui beliau masih belum pasti mengenai masa depannya apabila pasukan bimbingannya tersingkir awal pagi tadi dan berisiko menjadi jurulatih pertama dipecat selepas Piala Dunia.

Ramirez semakin mendapat tekanan di negaranya selepas persembahan mengecewakan Costa Rica apatah lagi mereka pernah layak ke suku akhir 2014 namun tersingkir pada peringkat kumpulan pada edisi kali ini.

Keputusan seri 2-2 ketika berdepan Switzerland awal pagi tadi memberikan Costa Rica satu mata di Russia.

Ditanya sama ada beliau boleh kekal selaku jurulatih, Ramirez yang mengemudi pasukan itu sejak 2015, tidak mahu mengulas lanjut.

“Saya tidak tahu. Esok saya akan pulang ke negara kami dan saya akan lihat,” katanya kepada wartawan.

“Ketika ini saya tidak tahu apa-apa mengenai nasib saya. Apa yang saya tahu ialah saya akan pulang untuk menemui keluarga.”

Ramirez, 53, membalas kritikan selepas kekalahan itu dengan menyatakan jika mereka mengancam keluarganya, beliau akan “menunjukkan watak garang sebenar dalam dirinya.”

Walaupun menampilkan persembahan buruk, Costa Rica sekadar tewas tipis 1-0 dalam perlawanan pembukaan berdepan Serbia sebelum tumbang dengan dua gol lewat ketika berdepan Brazil dan menamatkan saingan di tangga terakhir Kumpulan E.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 8:42 AM