INSIDEN yang menyaksikan Messi dan pemain Chile,  Gary Medel dilayangkan kad merah di  Copa America. - FOTO AFP
INSIDEN yang menyaksikan Messi dan pemain Chile, Gary Medel dilayangkan kad merah di Copa America. - FOTO AFP
AFP

LIONEL Messi kembali menyertai skuad Argentina untuk aksi persahabatan menentang Brazil dan Uruguay bulan ini, menurut kenyataan persatuan bola sepak negara itu dalam Twitter awal pagi tadi.

Messi tidak beraksi untuk Argentina sejak diperintah keluar padang ketika menentang Chile dalam penentuan tempat ketiga Copa America pada 7 Julai lalu.

Penyerang itu kemudiannya digantung tiga bulan angkara komennya selepas tamat aksi terbabit dengan mendakwa CONMEBOL, badan bola sepak Amerika Selatan terbabit rasuah.

Penyerang Manchester City, Sergio Aguero turut dipanggil semula selepas tersisih empat aksi persahabatan sebelum ini manakala pertahanan Manchester United, Marcos Rojo yang dipanggil semula selepas Copa America kekal dalam pasukan.

Sepanjang ketiadaan Messi, Argentina beraksi empat perlawanan persahabatan, seri 0-0 dengan Chile dan 2-2 menentang Jerman selain membelasah Mexico 4-0 dan Ecuador 6-1.

Mereka menentang Brazil di Arab Saudi pada 15 November ini dan Uruguay di Israel pada 18 November. Penggantungan Messi tamat pada 3 November.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu bergelut dengan kecederaan sejak awal musim ini bermula dengan kecederaan kaki pada Ogos dan paha pada September lalu.

Tetapi pemulihannya tepat pada masa bagi membantu Barcelona yang menang tujuh aksi terakhir mereka dalam semua kejohanan. Messi turut menjaringkan dua gol ketika membelasah Real Valladolid 5-1 kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 7:59 AM