KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Asyraf Hamzah
KETUA Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail. FOTO Asyraf Hamzah
Jumiati Rosly


MAJLIS Sukan Negara (MSN) menjelaskan kriteria pemilihan atlet kategori A yang lebih ketat dilakukan bagi menghantar kontinjen negara yang berkualiti berbanding kuantiti ke Sukan Asia di Indonesia pada Ogos ini dan ia bukan faktor kekangan kewangan semata-mata.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata kriteria pemilihan kategori A daripada enam ranking terbaik kepada empat ranking terbaik dilakukan selepas mengambil kira daripada apa yang berlaku pada kontinjen negara di Sukan Komanwel Gold Coast lalu.

"Ini adalah salah satu cara meningkatkan kesungguhan persatuan sukan kebangsaan untuk berusaha lebih padu bagi mendapatkan pingat di Sukan Asia. 

"Kita banyak belajar daripada apa yang berlaku pada Sukan Komanwel yang menggunakan kriteria pemilihan enam kedudukan terbaik dengan menjadikan penyertaan yang lebih tanpa kualiti yang diharapkan," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Terakhir ke Sukan Asia Indonesia di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Ketika Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pada April lalu, kontinjen negara menghantar 177 atlet dengan menghasilkan tujuh pingat emas, lima perak dan 12 gangsa sementara kontinjen negara mempamer prestasi terburuk pada Sukan Asia 2014 Incheon, Korea Selatan apabila sekadar memperoleh lima emas, 14 perak dan 14 gangsa daripada kontinjen seramai 277 atlet. 

Shapawi berharap kriteria pemilihan kali ini akan diteruskan pada masa hadapan dan persatuan tidak sepatutnya menggunakan temasya besar seperti Sukan Asia sebagai medan pendedahan untuk membolehkan atlet mereka disenaraikan dalam kategori A.

"Kita ada platform lain seperti Sukan SEA dan juga sukan yang dianjur persatuan masing-masing sebagai medan pendedahan. Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik adalah untuk atlet yang betul betul meyakinkan dihantar ke temasya berkenaan," katanya.

Untuk makluman, Kategori A menyaksikan perbelanjaan atlet terbabit ditanggung sepenuhnya oleh MSN sementara atlet yang tersenarai dalam Kategori B terpaksa ditanggung oleh persatuan masing-masing dengan perbelanjaan itu boleh diperoleh semula jika atlet terbabit memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 9:31 PM