Datuk Seri Zolkples Embong. FOTO File NSTP
Datuk Seri Zolkples Embong. FOTO File NSTP
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan sesuatu perlu segera dilakukan kerana kegagalan mencapai sasaran di Sukan Olimpik Tokyo bukanlah kali pertama tetapi yang keempat berturut-turut dalam temasya sukan utama.

Jelas Zolkples, kegagalan sebelum ini adalah pada temasya Sukan Asia dan Komanwel 2018 masing-masing di Jakarta-Palembang dan Gold Coast serta Sukan Sea Filipina dua tahun lalu.

Kontinjen negara disasarkan tiga pingat termasuk satu emas pertama negara namun mereka menutup tirai Olimpik Tokyo dengan satu pingat perak dan satu gangsa sahaja.

"Secara umumnya memanglah kita tidak mencapai sasaran di sebalik sasaran yang saya anggap berani kali ini kerana kita mengharapkan untuk memenangi pingat emas pertama.

"Tapi masih ada yang menyatakan berpuas hati dengan pencapaian di Tokyo yang mana ia menimbulkan tanda tanya bukan hanya kepada saya sahaja. Jangan lupa ini adalah kegagalan kali keempat untuk mencapai sasaran.

"Jadi sesuatu perlu dilakukan dan kita tidak boleh melakukan perkara atau pendekatan yang sama lagi tetapi mengharapkan perubahan yang besar. Saya mengharapkan Menteri (Belia dan Sukan) dapat putuskan apa yang perlu dilakukan selepas ini," katanya ketika dihubungi.

Di Sukan Asia dan Komanwel 2018, kontinjen negara gagal menepati sasaran untuk mengakhiri saingan dalam kelompok 10 negara terbaik meskipun meraih tujuh pingat emas di kedua-dua temasya berkenaan.

Di Sukan Sea Filipina pula, Malaysia sekadar meraih 56 emas, jauh berbanding sasaran asal 70 emas.

Sementara itu, Zolkples juga pelik kerana tiada sebarang kenyataan meyakinkan daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail ketika rata-rata barisan atlet negara yang beraksi di Tokyo berada di bawah tanggungjawabnya.

"Saya cuma boleh katakan hairan tak ada kenyataan dari Ketua Pengarah MSN," katanya.

Bagaimanapun Zolkples tetap memuji kesungguhan beberapa atlet yang pada pandangannya mempamerkan aksi cemerlang pada temasya kali ini.

Antara mereka adalah dua jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom selain penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri.

"Azizulhasni tak dinafikan kemampuannya apabila meraih perak, Shah pula menunjukkan semangat tinggi berlumba semula selepas mengalami kecederaan dan bakal menjadi antara prospek utama untuk Paris 2024.

"Dhabitah pula cemerlang dengan menamatkan saingan di kedudukan keempat acara 3 meter (m) papan anjal. Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton) juga cemerlang kerana meraih gangsa walaupun mereka bukanlah sasaran BAM (Persatuan Badminton Malaysia) untuk meraih pingat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 8:45 PM