KAPTEN Peru, Paolo Guerrero kembali perkuat skuad Peru selepas digantung 14 bulan angkara bahan terlarang. FOTO AFP
KAPTEN Peru, Paolo Guerrero kembali perkuat skuad Peru selepas digantung 14 bulan angkara bahan terlarang. FOTO AFP
AFP

MAHKAMAH tertinggi Switzerland membenarkan permohonan kapten Peru, Paolo Guerrero untuk beraksi beraksi di Piala Dunia, hari ini biarpun dia sebelum ini digantung kerana didapati positif menggunakan kokain dalam ujian doping.

Guerrero baru saja melengkapkan penggantungan enam bulan dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang berkenaan.

Begitupun, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memanjangkan lagi tempoh penggantungan itu sehingga 14 bulan, sekali gus menyaksikan dia bakal terlepas aksi Piala Dunia.

Justeru, tribunal Mahkamah tertinggi Switzerland yang bersidang memutuskan untuk menggantung keputusan CAS dan berkata: "Guerrero boleh kembali beraksi di Piala Dunia akan datang."

Keputusan itu disambut baik oleh Persekutuan Bolasepak Peru (FPF), yang memberi sokongan padu kepada Guerrero dalam beberapa bulan kebelakangan ini dan berusaha untuk membawanya ke Russia untuk penampilan Piala Dunia pertama negara mereka, sejak 36 tahun lalu.

"Ini adalah satu berita yang amat menggembirakan bukan hanya untuk FPF, tetapi seluruh rakyat dan peminat bola sepak di Peru," kata FPF dalam satu kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan Guerrero, berang terhadap 'ketidakadilan' yang berlaku susulan penggantungan akibat kesalahan kes doping selama 14 bulan, sekali gus meranapkan impiannya ke Piala Dunia Russia.

Guerrero yang beraksi sebagai penyerang untuk kelab gergasi Brazil, Flamengo disenaraikan dalam skuad awal Peru seramai 25 orang ke Piala Dunia yang diumumkan pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 12:36 AM