GUERRERO (kanan) melepasi pertahanan Arab Saudi. FOTO/AFP
GUERRERO (kanan) melepasi pertahanan Arab Saudi. FOTO/AFP
Reuters

ST GALLEN, Switzerland: Kapten Peru, Paolo Guerrero meraikan pembebasannya daripada penggantungan kerana doping dengan bergaya awal pagi tadi, apabila menjaringkan dua gol ketika menang 3-0 pada aksi persahabatan ke atas Arab Saudi tiga hari selepas diberi kebenaran bermain pada Piala Dunia pertamanya.

Pemain berusia 34 tahun itu meledak gol kedua dan ketiga Peru ketika mereka unggul terhadap satu lagi pasukan yang layak ke Piala Dunia di bandar Switzerland, St Gallen selepas Andre Carrillo membuka tirai jaringan dengan rembatan voli mengagumkan.

Perlawanan itu dilangsungkan dengan kapasiti 18,000 penonton, hampir semuanya warga Peru yang berkunjung dari negara jiran untuk menyaksikan kelibat pasukan mereka yang layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 36 tahun.

Peru, yang berdepan Denmark, Perancis dan Australia dalam peringkat kumpulan, mendominasi perlawanan itu ketika mereka meneruskan catatan tanpa kalah kepada 14 perlawanan.

Mereka pantas menguasai dan Carrillo meletakkan mereka di depan pada minit ke-20, mengawal bola dengan dadanya dan melakukan rempatan separa voli selepas tandukan pertahanan lawan singgah berhampirannya.

Kemudian tampil saat yang dinanti-nantikan penonton apabila Guerrero, penjaring gol terbanyak Peru sepanjang zaman, menyambar bola muntah pada minit ke-41 untuk menambah gol kedua.

Dia kemudian melengkapkan persembahan itu dengan tandukan kencang pada minit ke-64 selepas Carrillo bijak meluru di sayap kiri sebelum melakukan hantaran lintang.

Ia penampilan pertama Guerrero buat Peru sejak kelayakan Piala Dunia menentang Argentina Oktober lalu apabila dia diuji positif dengan kokain - yang terkandung dalam teh yang diminumnya dan didakwanya diambil secara tidak disedari.

Guerrero awalnya digantung 12 bulan oleh FIFA, dikurangkan kepada enam bulan selepas rayuan.

Ia berakhir awal bulan lalu namun impiannya bermain pada Piala Dunia pertama kelihatan berkecai beberapa hari kemudian apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) meningkatkan tempoh penggantungannyua kepada 14 bulan.

Namun Khamis lalu, Tribunal Persekutuan Switzerland bersetuju melucutkan penggantungan itu secara sementara bergantung kepada rayuan dan membenarkannya bermain di Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 8:32 AM