DHAARMA (dua dari kanan) memberikan arahan kepada anak buahnya. FOTO/FAIL
DHAARMA (dua dari kanan) memberikan arahan kepada anak buahnya. FOTO/FAIL
Saiful Affendy Sapran

MESKIPUN skuad hoki wanita negara dilihat tidak berdepan masalah untuk muncul juara pusingan pertama Siri Hoki Dunia di Singapura bermula 23 Jun ini, namun ia masih mencetuskan rasa gusar bagi penjaga gol negara, Farah Ayuni Yahya.

Bagi Farah, skuad negara akan menerima akibat yang besar sekiranya terlalu berasa selesa dengan status selaku pasukan pilihan untuk pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.

“Kejohanan seperti ini lebih merisaukan saya berbanding kejohanan besar lain.

“Sebab pasukan yang akan kita temui berada di ranking lebih bawah dan kebiasaannya mereka akan mengambil pendekatan untuk bermain secara bertahan.

“Apabila situasi seperti itu berlaku, ia memberi lebih tekanan kepada barisan pemain kita kerana buntu untuk mencari gol,” katanya.

Skuad negara akan beraksi bersama Thailand yang menduduki ranking ke-28, Singapura (35), Kazakhstan (34), Hong Kong (43) dan Indonesia (65).

Di atas kertas, skuad negara seharusnya tidak berdepan masalah untuk menewaskan kesemua lawan mereka itu dengan dua pasukan terbaik akan layak ke pusingan kedua pula.

Sementara itu, Farah yang dinobatkan selaku penjaga gol terbaik di Trofi Juara-Juara Asia di Korea Selatan bulan lalu mengakui teruja untuk beraksi sekiranya terpilih membarisi skuad kebangsaan.

“Selagi jurulatih meletakkan kepercayaan kepada saya, selagi itu saya akan berikan yang terbaik.

“Andai terpilih, saya harap dapat membantu pasukan sekali lagi untuk mara ke pusingan kedua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mei 2018 @ 3:22 PM