PEI Jing (kiri) dan Kian Meng layak secara merit ke Kejohanan Dunia di Nanjing, China. FOTO/FAIL
PEI Jing (kiri) dan Kian Meng layak secara merit ke Kejohanan Dunia di Nanjing, China. FOTO/FAIL
Helmi Talkah

 

 PEMINAT akan menyaksikan gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang ‘baru’ pada saingan Terbuka Malaysia yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil bermula 26 Jun hingga 1 Julai depan.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang berkata, selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang tahun ini, Kian Meng-Pei Jing yang menghuni ranking ke-12 dunia kini melalui proses transformasi dalam program latihan mereka bagi mengembalikan tahap keyakinan kedua-dua pemain berkenaan.

“Saya membuat perubahan dalam program latihan mereka selain cuba mengubah cara pemikiran dalam permainan. Saya akan pantau perkembangannya dari semasa ke semasa. Mereka ada tempoh lima hingga enam minggu bagi melakukan persiapan menghadapi Terbuka Malaysia.

“Jadi, kita akan lihat sama ada mereka boleh menterjemahkan perubahan dilakukan pada Terbuka Malaysia nanti. Saya akan membuat penilaian pada kejohanan itu sebelum merangka program lain bagi Kejohanan Dunia,” kata Cheh Chang.

Kemerosotan prestasi Kian Meng-Pei Jing menyaksikan mereka digugurkan pada saat akhir untuk temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, bulan lalu. Tempat mereka digantikan pasangan, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jamie.

Bagaimanapun, Kian Meng-Pei Jing boleh menarik nafas lega apabila layak secara merit ke Kejohanan Dunia di Nanjing, China yang akan bermula pada 30 Julai hingga 5 Ogos. Soon Huat-Shevon turut layak beraksi di Nanjing.

Ditanya mengenai punca kemerosotan prestasi Kian Meng-Pei Jing, Cheh Chang berkata: “Sejak mula digandingkan, mereka terus bersaing pada tahap tertinggi dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia dalam waktu singkat.

“Namun, dalam masa sama, mereka juga ada kekurangan. Ini saya mahu perbaiki dan cuba atasi. Saya harap mereka boleh kembali pada tahap prestasi terbaik pada Terbuka Malaysia nanti,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sent from my iPhone

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 4:35 PM