KIAN Meng-Pei Jing tewas kepada Wang Yilyu-Huang Dongping dari China.  FOTO/NSTP
KIAN Meng-Pei Jing tewas kepada Wang Yilyu-Huang Dongping dari China. FOTO/NSTP
Helmi Talkah

 

KUALA LUMPUR: Cabaran Malaysia pada saingan Terbuka Hong Kong berakhir selepas ketiga-tiga wakil negara yang beraksi di pusingan kedua tumbang di tangan lawan masing-masing, hari ini.

Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menjadi wakil pertama negara yang ditunjukkan jalan keluar selepas tewas kepada pilihan kedua kejohanan dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping.

 

Walaupun berjaya mengheret perlawanan sehingga ke set penentuan, Kian Meng-Pei Jing gagal mengekalkan momentum mereka apabila terpaksa akur dengan kekalahan 11-21, 21-18, 6-21.

 

Satu lagi beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut mengalami nasib sama apabila tewas kepada pasangan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 14-21, 16-21.

 

Bagaimanapun, Soon Huat-Shevon boleh menarik nafas lega apabila kekalahan itu tidak memberi kesan terhadap misi layak ke saingan Jelajah Akhir Dunia BWF di Guangzhou, China, bulan depan.

Ini kerana mereka sudah pun mengesahkan slot ke kejohanan akhir musim berkenaan hasil kemenangan di pusingan pertama, pada Selasa lalu.

 

Hanya lapan beregu teratas ranking Jelajah Dunia BWF layak ke Guangzhou.

 

Dalam pada itu, nasib malang terus menyelubungi beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang gagal layak ke suku akhir selepas tewas kepada bekas juara dunia dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 16-21, 21-12, 12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 12:05 AM