PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi. FOTO Osman Adnan
PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi. FOTO Osman Adnan
Sukhairi Thani


PELUMBA Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mengakui sedikit kecewa dengan prestasi yang dipamerkannya pada saingan Grand Prix (GP) Itali, minggu lalu.

Dia yang bersama pasukan IDEMITSU Honda Team Asia melengkapkan 21 pusingan perlumbaan di Litar Mugello di tangga ke-18 dengan catatan 40 minit 25.918 saat.

Pusingan keenam musim bagi kelas pertengahan itu dimenangi oleh pelumba Red Bull KTM Ajo, Miguel Oliveira yang mencatat masa terpantas, 39'42.018s.

“Jujurnya, saya sedikit kecewa kerana saya mampu mengekalkan kelajuan kompetitif (dalam perlumbaan),” kata bekas juara GP Argentina dan GP Jerman dalam kelas Moto3 pada tahun 2016 itu.

Pelumba berusia 19 tahun yang memulakan perlumbaan dari petak ke-18 itu berkata, dia tersasar pada Selekoh 2 pada awal saingan dan selepas itu tidak mampu untuk mengejar kembali kelompok hadapan.

“Apapun, saya akan kembali berusaha gigih di Catalunya nanti untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik,” kata Khairul Idham mengenai pusingan seterusnya di GP Catalunya dari 15 hingga 17 Jun ini.

Pada musim lalu, Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai SuperKIP menamatkan perlumbaan di Sirkit Barcelona-Catalunya di tangga ke-25 selepas bermula dari petak ke-27.

Selepas enam pusingan, pencapaian terbaik SuperKIP adalah di GP Perancis, dua minggu lalu apabila menamatkan saingan di tangga ke-15 untuk mengumpul mata sulungnya musim ini.

Khairul Idham ketika ini berada di tangga ke-27 dalam kelas Moto2.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 6:50 PM