KHAIRUL IDHAM PAWI
KHAIRUL IDHAM PAWI
Sukhairi Thani


MESKIPUN meluahkan rasa kecewa dengan keputusan diraih Khairul Idham Pawi di Grand Prix (GP) Belanda semalam, pengurus pasukan IDEMITSU Honda Team Asia, Hiroshi Aoyama mahu pelumbanya itu bangkit di litar Sachsenring, Jerman 15 Julai ini.

Perlumbaan GP Jerman pernah menyaksikan Khairul Idham meraih kemenangan ketika penampilan pertamanya dalam kelas Moto3 pada 2016 sebelum diangkat ke kelas pertengahan Moto2, selepas itu.

Khairul Idham memulakan saingan daripada petak ke-12 - kedudukan dalam kelompok 15 terbaik yang berpotensi mengumpul mata - namun menamatkan 24 pusingan perlumbaan di tangga ke-19.

Keputusan itu jelas mengecewakan Aoyama selain menganggap tindakan pelumba dikenali sebagai SuperKIP yang menyarung kasut perlumbaan baharu tanpa alasan munasabah pada hari perlumbaan, seharusnya tidak berlaku.

“Jujurnya, saya kecewa dengan keputusan hari ini (semalam) kerana kami menjangkakan keputusan yang baik untuk musim ini,” kata Aoyama.

“Saya harap dia mempelajari sesuatu, pelumba tidak seharusnya menukar peralatan mereka pada hari perlumbaan tanpa sebarang sebab ataupun kerosakan teruk seperti berlubang ataupun koyak. Ini kerana peralatan biasa adalah begitu sesuai dengan bentuk badan pelumba.

“Apapun, untuk perlumbaan seterusnya di Sachsenring, dia mempunyai memori yang baik di sana, jadi dia boleh bangkit semula untuk mendapatkan keputusan yang baik.”

Sementara itu, Khairul Idham mengakui kesilapannya dengan berkata: “Dari awal perlumbaan, saya bergelut dengan tuas gear (shift pedal) kerana menukar kasut baharu hari ini (semalam).

“Malah, saya seperti merasakan sesuatu ke atas motosikal, tayar belakang seperti sukar dikawal ketika saya memulas pendikit sebanyak 20 peratus.

“Saya kecewa dengan keputusan tetapi dalam masa sama banyak belajar daripada kesilapan dilakukan. Kami akan berusaha gigih dan bangkit di Sachsenring,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 4:08 PM