PRESIDEN BAM, Datuk Seri Norza Zakaria menjawab soalan media di sidang akhbar pencapaian pemain negara pada Kejohanan Badminton Pusingan Akhir Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok. FOTO Mohd Yusni Ariffin
PRESIDEN BAM, Datuk Seri Norza Zakaria menjawab soalan media di sidang akhbar pencapaian pemain negara pada Kejohanan Badminton Pusingan Akhir Piala Thomas dan Uber 2018 di IMPACT Arena, Bangkok. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Fabian Peter


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak berpuas hati dengan bahagian beregu wanita berikutan aksi kurang mantap skuad Piala Uber negara di Bangkok.

 Skuad wanita negara gagal mencapai sasaran mara ke suku akhir, selepas mencatat dua kekalahan (2-3 kepada Indonesia serta 1-4 menentang China) dan sekali menang (5-0 ke atas Perancis) untuk menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan D di belakang China serta Indonesia.

 "Saya berasa kecewa dengan bahagian beregu wanita, walaupun saya harus lebih adil kerana pemain seperti Lee Meng Yean baru pulih dari kecederaan. Malah mereka sebenarnya masih lagi menguji pemain untuk digandingkan, ia merisaukan saya.

 "Saya sedar mereka sedang berusaha tetapi sepatutnya sudah bersedia, dengan erti kata lain, kombinasi paling kuat. Saya hanya melihat Meng Yean-Chow Mei Kuan saja gandingan yang ada memberikan tentangan. Gandingan lain mudah dibuli oleh Indonesia dan China. 

 "Saya juga kecewa dengan Vivian (Hoo) dan Mei Kuan kerana mereka sepatutnya mampu menunjukkan semangat kepimpinan tidak kira dalam keadaan apa sekali pun, terutama sekali dalam aksi menentang Indonesia dan China, di mana saya rasa mereka mampu meraih mata.                                                                Biarpun kecewa, Norza tetap bangga dengan peningkatan secara keseluruhan pasukan berkenaan.

 "Saya rasa kita dapat lihat sendiri peningkatan pemain perseorangan wanita. Dalam perlawanan menentang Indonesia dan China, pemain kita berjaya menumpaskan musuh yang mempunyai ranking lebih tinggi.

 "Sudah tentu menentang Indonesia kita mengharapkan Goh Jin Wei mampu mencatat kemenangan namun tidak berhasil. Bagaimanapun, dia berjaya menebus kehampaan dan bangkit ketika menentang China.

 "Selain Soniia dan Jin Wei, kita dapat lihat peningkatan dari pemain seperti S Kisona dan Lee Ying Ying, yang berjaya memberikan aksi mantap pada penampilan sulung. Selepas berbincang dengan ketua jurulatih perseorangan wanita, Datuk Tey Seu Bock, saya rasa kita sepatutnya memberi tumpuan kepada kedua-dua pemain ini," kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 5:28 PM