TIMBALAN Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dapat restu Presiden MOM. Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. FOTO Owee Ah Chun
TIMBALAN Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dapat restu Presiden MOM. Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. FOTO Owee Ah Chun
Aida Adilah Mat


PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menegaskan beliau tidak menghalang sekiranya timbalannya, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi meneruskan hasrat merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).  

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Ahli Lembaga Pengarah MOM sejak menerajui badan yang memayungi persatuan sukan kebangsaan itu 5 Mei lalu, Norza memberitahu beliau juga tidak memihak kepada mana-mana pihak.

Malah, beliau percaya ahli gabungan FAM mampu mengenal pasti calon yang layak dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka membuat pilihan.

“Sebagai Presiden MOM adalah wajar saya bersikap ‘neutral’ kerana ia membabitkan persatuan di bawah MOM. Mereka perlulah memilih pemimpin terbaik untuk sukan itu.  

“Apapun, saya harap proses pemilihan dijalankan dengan sihat,” katanya yang turut pernah menjadi Bendahari FAM.   

Terdahulu, Azim yang juga Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), mengakui masih belum membuat keputusan untuk bertanding jawatan Presiden FAM meskipun bersetuju namanya dicalonkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).   

Beliau mempunyai masa sehingga 14 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau menarik diri.  

Azim sebelum ini juga dilantik sebagai ketua kontinjen negara ke Sukan Asia Jakarta-Palembang Ogos depan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 6:19 PM