GABBIADINI (tengah) ledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-72. FOTO Reuters
GABBIADINI (tengah) ledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-72. FOTO Reuters
Reuters

London: Southampton hampir mengekalkan tempat di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas gol Manolo Gabbiadini pada babak kedua menghadiahkan kelab bergelut itu kemenangan 1-0 ke atas Swansea City, awal pagi semalam.

Kemenangan itu begitupun menyaksikan satu lagi kelab bergelut, West Bromwich Albion sah tersingkir ke Liga Kejuaraan, musim depan.

Gabbiadini yang juga pemain gantian meledak gol tunggal pada minit ke-72 dan sejurus pertembungan di Selatan Wales itu berakhir, pemain-pemain Southampton meraikan kejayaan berkenaan.

Selepas mengharungi 37 perlawanan, Southampton mengumpul 36 mata, kelebihan tiga mata di atas Swansea menuju perlawanan terakhir musim ini pada Ahad.

Selain memiliki kelebihan tiga mata, Southampton juga mempunyai jumlah jaringan gol yang besar berbanding Swansea iaitu sembilan, tetapi mereka dijadual bertemu juara, Manchester City pada hari terakhir kempen.

Kemenangan awal pagi semalam adalah yang kedua dalam tiga perlawanan dan tidak kalah dalam empat perlawanan terakhir.

Kejayaan itu juga sudah pasti melegakan pengurus, Mark Hughes yang dipecat Stoke dan dilantik menjadi pengurus baru Southampton pada awal Mac lalu dalam misi memastikan pasukan kekal dalam Liga Perdana.

“Saya mengambil alih tugas ini tiada kaitan dengan reputasi saya. Semuanya demi kelab yang saya pernah beraksi bersamanya dan mengelakkan kelab daripada tersingkir,” kata Hughes.

Swansea dalam pada itu memerlukan kemenangan ketika bertemu pasukan yang sudah pun tersingkir, Stoke City pada perlawanan terakhir.

Selain itu, mereka perlu berharap kelab di tangga ke-17, Huddersfield Town tewas kedua-dua perlawanan terakhir pertama kepada Chelsea dan kemudian tewas di gelanggang sendiri kepada Arsenal pada Ahad untuk berharap kekal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 3:48 AM