PEMAIN  Leicester meraikan kemenangan dalam aksi Piala Liga. FOTO/AFP
PEMAIN Leicester meraikan kemenangan dalam aksi Piala Liga. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Leicester menempah pertemuan dengan Manchester City di suku akhir Piala Liga, selepas meraih kemenangan menerusi penentuan penalti 6-5 ke atas Southampton yang dibayangi sistem video bantuan pengadil (VAR), pagi tadi.

Dalam aksi yang disusun semula susulan kematian tragik pemilik Leicester, Vichai Srivaddhanaprabha, Oktober lalu, barisan kendalian Claude Puel terikat 0-0 dengan pasukan yang sedang bergelut, Southampton di Stadium King Power.

Namun dalam penentuan penalti, percubaan Manolo Gabbiadini dinafikan Danny Ward, sebelum Nampalys Mendy menjaringkan gol kemenangan buat Leicester.

Ia adalah kemenangan pertama Leicester di laman sendiri sejak helikopter dinaiki Vichai terhempas di luar stadium kelab, beberapa hari sebelum mereka dijadual bertemu Saints untuk aksi pusingan keempat.

Leicester yang memenangi Piala Liga pada 2000, bakal melayan kunjungan juara Liga Perdana Inggeris, City pada 18 Disember untuk memburu slot ke separuh akhir.

"Pada penghujungnya ia satu perasaan menarik, banyak emosi," kata Puel. "Ward melakukan tugas dengan baik, membolehkan kami terus berada dalam permainan. Saya gembira untuk Papy yang menjaringkan gol kemenangan penalti."

Southampton berada dalam situasi buruk dalam saingan liga tetapi anak buah Mark Hughes hampir menemui kemenangan dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.

Nathan Redmond berjaya melepasi bahagian pertahanan dikawal Caglar Soyuncu dan Danny Simpson, namun percubaan pemain sayap Southampton itu tersasar.

Southampton hampir membuka tirai jaringan apabila hantaran Redmond berjaya dilunaskan Steven Davis, namun gol itu dinafikan oleh VAR.

Hughes, yang sedang mengelak daripada disingkirkan, menyifatkan Southampton sebagai mangsa di atas keputusan itu.

"Mereka yang melihat situasi kadangkala membuat keputusan salah. Jika kamu memperlahankannya, ia tampak disengajakan. Namun apabila kamu bermain dalam masa permainan sebenar, tidak ada sebab dia boleh mengelak bola itu," kata Hughes.

"Daripada pandangan kami, ia gol yang sah dan kami seharusnya memenangi perlawanan ini."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 11:27 AM