PRESIDEN Russia, Vladimir Putin (kiri) bersama Bos Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino ketika pertemuan di sebuah resort dekat Laut Hitam di Sochi. FOTO EPA-EFE
PRESIDEN Russia, Vladimir Putin (kiri) bersama Bos Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino ketika pertemuan di sebuah resort dekat Laut Hitam di Sochi. FOTO EPA-EFE
AFP

BOS Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berkata Russia sudah sedia secukupnya untuk menganjurkan Piala Dunia 2018 dan berterima kasih kepada komitmen Presiden Vladimir Putin yang berusaha menjayakan temasya bola sepak terbesar itu.

Infantino menemui Putin di sebuah resort dekat Laut Hitam di Sochi ketika Russia berlumba melakukan sentuhan akhir menyiapkan semua kemudahan menjelang temasya bermula pada 14 Jun hingga 15 Julai ini.

Kejohanan kali ini yang pertama berlangsung di timur Eropah dan menjadi temasya paling mahal pernah dianjurkan dan kerap menjadi tumpuan setiap kali tercetus ketegangan antara Russia dan negara blok barat.

Selain terpalit dengan kelewatan menyiapkan gelanggang, tuan rumah juga dihantui dengan gelagat samseng bola sepak mereka yang kerap kali melancarkan laungan perkauman ketika perlawanan.

Namun Infantino memuji persiapan Russia dan mengakui Piala Dunia kali ini bakal menjadi temasya paling hebat.

“Tuan telah berusaha menjadikan Piala Dunia kali ini yang paling hebat pernah dianjurkan,” kata Infantino dalam pertemuan dengan Putin yang disiarkan oleh rangkaian televisyen tempatan.

“Maklumbalas daripada semua pakar FIFA semuanya positif.

“Ini menunjukkan Russia sudah cukup sedia menjadi tuan rumah bagi sebuah kejohanan untuk seluruh dunia meraikannya pada musim panas di negara yang cantik ini,” katanya.

Putin dan Infantino memulakan pertemuan itu dengan sesi bergambar sambil memegang kad ID yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Russia untuk penyokong bagi tujuan tapisan keselamatan menjelang temasya sebenar.

Kedua-dua pemimpin itu kemudian melawat ke Stadium Sochi - iaitu gelanggang utama Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014 sebelum mendengar taklimat daripada pegawai di situ.

Kejohanan Piala Dunia kali ini akan berlansung di 12 buah stadium membabitkan 11 buah negeri di Russia.

Presiden Russia turut memuji persiapan penganjur sambil menyenaraikan deretan faedah yang bakal dinikmati oleh semua 11 bandar yang terbabit penganjuran Piala Dunia 2018.

Namun nada Putin kian tegas sejurus membincangkan prospek pasukan Russia sendiri pada kejohanan itu.

“Kami semua amat berharap pemain kami akan memberikan persembahan terbaik mereka, kami akan berikan semuanya yang mereka berhak dapat dan mereka wajar beraksi sebaik mungkin.

“Lebih penting mereka semua mesti menunjukkan semangat melawan sebenar yang memang digemari peminat,” kata Putin.

Skuad bola sepak Russia sejak 10 tahun kebelakangan ini gagal melepasi peringkat kumpulan saingan peringkat antarabangsa sekali gus meningkatkan tekanan buat pemain apabila beraksi di gelanggang sendiri.

Dalam pada itu, jurulatih skuad Russia, Stanislav Cherchesov ketika ini dilaporkan bergelut menyiapkan pasukan apabila berdepan senarai kecederaan yang bertambah dan mereka sudah pasti beraksi sebagai pasukan underdog.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 11:48 PM