Pemain Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat (dua dari kiri) diasak pemain Selangor dalam aksi Piala FA. FOTO Zaman Huri Isa.
Pemain Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat (dua dari kiri) diasak pemain Selangor dalam aksi Piala FA. FOTO Zaman Huri Isa.
Attirmidzie Rahman


KELANTAN tewas 3-0 kepada Selangor dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Skuad kendalian Marco Kraljevic terpaksa bekerja keras menyelamatkan gawang daripada dibolosi.

Begitupun, Selangor terpaksa menunggu selepas waktu rehat permainan untuk mencatat kemenangan selesa.

Pemain tengah, Syazwan Zainon menceriakan penyokong Red Giants pada minit ke-62 apabila larian solonya dari tengah padang memastikan gol pendahuluan buat skuad itu sekaligus memberi tekanan kepada tuan rumah.

Selang tiga minit, Selangor menambah jaringan kedua menerusi bekas pemain Terengganu, Faiz Mohd Nasir hasil rembatan deras dalam kawasan penalti menewaskan penjaga gol Kelantan, Damien Lim.

TRW yang ketinggalan dua gol berusaha untuk mengurangkan defisit gol dan beberapa percubaan dilakukan tetapi gagal membolosi gawang pelawat termasuk percubaan tepat daripada Mustafa Zazai pada minit ke-73.

Ketua jurulatih Kelantan, Kraljevic melakukan tiga pertukaran menggantikan Khairul Rizam Che Soh, Nik Akif Syahiran, dan Hakimi Abdullah dengan Fauzi Roslan, Mohd Badhri Radzi dan Juzaerul Jasmi untuk mengimbangi kekuatan pasukan pelawat.

Pada minit ke-87, Faiz Mohd Nasir menambah koleksi jaringan peribadinya hasil larian solo mengelirukan pertahanan tuan rumah menjadikan kedudukan 3-0 sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 11:13 PM