ASENSIO meledakkan gol kemenangan Real pada suku akhir Copa del Rey. Foto Reuters
ASENSIO meledakkan gol kemenangan Real pada suku akhir Copa del Rey. Foto Reuters
Reuters

MADRID: Penyerang Real Madrid, Marco Asensio meledak gol menerusi rembatan voli pada minit ke-89 untuk memberikan kemenangan 1-0 skuad juara Eropah itu ke atas Leganes pada suku akhir pertama Copa del Rey.

Jurulatih Real, Zinedine Zidane mengetepikan Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale untuk memberi ruang kepada skuad kedua tetapi gandingan pemain mudanya gagal menyerlah hinggalah Asensio menjaringkan gol.

Real kelihatan bergelut ketika menentang Leganes dan terlepas lapan peluang menjaringkan gol dan membuktikan mereka tidak bersungguh untuk menghadapi Copa del Rey walaupun sebahagian besar penyokong setia kelab Madrid itu memenuhi Stadium Butarque.

Rembatan Mateo Kovacic tersasar jauh sebelum rehat sebelum penjaga gol Real, Kiko Casilla menepis rembatan penyerang Leganes, Claudio Beauvue. Pemain antarabangsa Sepanyol, Asensio yang menerima hantaran lintang Theo Hernandez, melakukan voli untuk menghasilkan gol yang dicari Real.

“Kami tidak mengatakan bahawa kami bermain baik tetapi kami beroleh keputusan yang kami mahukan,” kata Zidane.

“Kami perlu mula mencatat kemenangan, kami perlu terus bersabar dan percaya kami mampu melakukannya jika kami bersatu. Kemenangan ini akan menjana lebih banyak kemenangan pada masa akan datang.”

Kedua-dua pasukan akan mengharungi perlawanan timbal balik di Santiago Bernabeu, 24 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 11:48 AM