PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger harus dihormati selepas mengumumkan bakal melepaskan kerusi panas Arsenal, hujung musim ini. - Foto EPA-EFE
PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger harus dihormati selepas mengumumkan bakal melepaskan kerusi panas Arsenal, hujung musim ini. - Foto EPA-EFE

PENGURUS Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bekas pemain memberikan penghormatan kepada Arsene Wenger selepas pengendali dari Perancis itu mengumumkan bakal melepaskan kerusi panas Arsenal, hujung musim ini.

Pengurus berusia 68 tahun itu memenangi tiga gelaran EPL dan tujuh Piala FA sepanjang 22 tahun bersama Arsenal namun prestasi pasukan sejak beberapa musim kebelakangan ini mencetuskan rasa kurang senang penyokong kelab.

AFP Sport mendapatkan reaksi berhubung keputusan Wenger meninggalkan The Gunners:

- Bekas pemain pertahanan Manchester United dan England, Gary Neville berkata, Wenger berhak diberikan penghormatan selepas karier yang cukup gemilang.

   "Arsene Wenger membina pasukan terbaik yang pernah saya temui dalam bola sepak Inggeris," katanya menerusi Twitter. "Pasukan '98 adalah menakjubkan. Paling menarik adalah permainan bola sepak beliau membuatkan kami terpaksa menukar cara kami bermain apabila menentang mereka."

- Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui terkejut dengan pengumuman itu.

   "Beliau individu yang mendominasi pada pertengahan 1990an, 2000an," kata Klopp dalam sidang media hari ini. "Ia berbeza kerana sekarang kami terpaksa bersaing dengannya tapi di Jerman, beliau adalah suri teladan," tambah pengurus dari Jerman itu.

- Bekas penjaga gol Arsenal David Seaman, yang menjadi antara tonggak utama pasukan ketika merangkul gelaran berganda 1998 dan 2002 meminta semua penyokong mengenang memori indah kelab itu.

"Berita sedih untuk @Arsenal dengan Arsene akan pergi meninggalkan kelab, boleh kah kita memberikan penghormatan?!!," katanya menerusi Twitter.

   Pemilik saham terbesar Arsenal, Stan Kroenke, yang sentiasa memberi sokongan kepada Wenger berang dengan kebanyakan penyokong yang tidak menghargai sumbang pengurus dari Perancis itu.

   "Tiga kejuaraan EPL, termasuk tidak kalah sepanjang musim, tujuh gelaran Piala FA dan 20 tahun berturut-turut beraksi dalam Liga Juara-Juara adalah rekod menakjubkan," kata Kroenke dalam satu kenyataan. "Beliau melakukan transformasi kepada identiti kelab ini dan bola sepak Inggeris menerusi visinya mencorakkan permainan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 9:22 PM