ARSENE WENGER
ARSENE WENGER
Agensi

Arsene Wenger mengakui Arsenal ketika ini letih mental dan fizikal selepas mengharungi kempen melelahkan terutama di Liga Europa.

Skuad Gunners sudah mengharungi 52 perlawanan pada musim ini selepas mara ke peringkat separuh akhir Liga Europa dan mara ke final Piala Liga sebelum tewas kepada Manchester City.

Wenger perlu melakukan penggiliran dalam pasukannya sebanyak yang mungkin bagi mengharungi kempen musim ini dengan keutamaan diberikan kepada Liga Europa berbanding Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Arsenal ketinggalan 13 mata daripada kedudukan empat teratas.

Di peringkat empat terbaik Liga Europa, Arsenal dijadual bertemu gergasi Sepanyol, Atletico Madrid.

“Benar ada sedikit kebimbangan kerana dengan Piala Liga di tengah-tengah musim, ia menjadi amat sukar,” kata Wenger ketika ditanya mengenai keletihan membabitkan pasukannya.

“Jika kamu lihat di (Manchester) City, mereka agak sama seperti kami, mereka sudah tewas beberapa perlawanan baru-baru ini dan harapnya pada minggu depan, kami dapat pulih sedikit.

“Saya melakukannya sebanyak yang mungkin (penggiliran) tetapi malangnya beberapa pemain perlu bermain dalam setiap perlawanan.”

Antara yang dibimbangi Wenger ialah Jack Wilshere yang sudah bermain dalam lapan perlawanan berturut-turut dan pengurus itu mengakui dia memerlukan sedikit rehat.

“Dia (Wilshere) turut disepak di bahagian buku lali,” kata Wenger mengulas perlawanan suku akhir kedua dengan CSKA Moscow sebelum ini.

“Tetapi, Jack adalah pemain yang mampu melakukan perbezaan secara individu dan saya percaya pemain seperti ini apabila mereka penat, mereka mampu memberi ancaman yang lebih kuat berbanding pemain yang kurang bermain.”

Kejayaan di pentas Liga Europa memberikan Arsenal peluang untuk kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim depan selepas tiket menerusi aksi liga domestik tampak sudah tertutup.

Arsenal dijadual menentang Newcastle United di laman lawan dalam aksi EPL, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 5:46 PM