WENGER (kiri) balas kritikan Mourinho.
WENGER (kiri) balas kritikan Mourinho.
AFP

LONDON: Arsene Wenger membalas kritikan Jose Mourinho dengan menegaskan beliau tidak ‘bermain akal’ ketika menurunkan Alexandre Lacazette bagi pertemuan melawan Manchester United, 24 jam selepas berkata penyerang itu tidak akan beraksi susulan kecederaan pangkal paha.

Peledak Perancis, Lacazette antara pemain yang disenaraikan secara mengejut dalam skuad Arsenal yang tewas 3-1 kepada United, minggu lalu selepas pengurus Gunners, Wenger berkata dia tidak akan beraksi disebabkan kecederaan yang diperoleh ketika bertemu Huddersfield sebelum itu.

Begitupun, Lacazette kemudian dikatakan cergas untuk bermain di Emirates dan menjaringkan gol tunggal Arsenal.

Bos United Mourinho bertindak mempersendakan Wenger apabila ditanya mengenai status pasukannya menjelang perlawanan tetangga bertemu Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Isnin ini.

“Saya berkata perkara yang benar,” kata Mourinho mengenai kesediaan beberapa pemainnya. “Ia adalah perkara yang benar ya? Tiada cerita seperti Lacazette atau (pemain tengah Manchester City) David Silva. Semuanya adalah perkara yang benar.”

LACAZETTE (kanan) jaring gol tunggal Arsenal ketika menentang United. FOTO/AFP
LACAZETTE (kanan) jaring gol tunggal Arsenal ketika menentang United. FOTO/AFP

Ketika ditemui menjelang aksi Liga Europa bertemu BATE Borisov dan ditanya mengenai komen Mourinho, Wenger bertegas mengatakan beliau benar-benar berfikir akan mengharungi perlawanan dengan United tanpa khidmat bekas penyerang Lyon itu.

“Saya fikir dia tidak akan bermain. Tetapi pada akhirnya, dia boleh bermain. Apa yang kamu mahu saya lakukan, meninggalkannya di rumah?” kata Wenger.

“Saya sentiasa jujur. Saya benar-benar merasakan dia tidak akan bermain, itulah perkara yang diberitahu kepada saya. Selepas itu, dia menjalani ujian pada pagi Jumaat dan kembali ke permainan.

“Kami masih tidak yakin dia boleh bermain tetapi dia cuba dan dia bermain, ia adalah sebahagian daripada bola sepak.”

Arsenal dijadual menanti kunjungan juara Belarus, BATE pada awal pagi Jumaat ini dan sudah pun melangkah ke peringkat kalah mati selaku juara Kumpulan H.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 12:55 AM