YEE Khie (kanan) mengucapkan tahniah kepada Abdulazeez (tengah). FOTO/AFP
YEE Khie (kanan) mengucapkan tahniah kepada Abdulazeez (tengah). FOTO/AFP
Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid di Gold Coast

ATLET powerlifting negara Jong Yee Khie terpaksa ‘akur’ dengan dominasi jagoan Nigeria, Abdulazeez Ibrahim apabila meraih pingat perak kategori heavyweight di Carrara Sports and Leisure Centre, hari ini.

Biarpun kedua-duanya melakukan angkatan 220kg, namun kiraan pengadil lebih memihak kepada atlet Nigeria itu selepas mereka hanya dipisahkan dengan 3.2 mata apabila Abdulazeez meraih 191.9 mata berbanding Yee Khie 188.7 mata. Gangsa milik atlet India Sachin Chaudary.

Yee Khie melakukan angkatan 205kg pada angkatan pertama disusuli 213kg dan 220kg untuk angkatan terakhir.

“Saya tidak meletak sasaran pingat, tidak kira apa warna tetapi sebelum datang ke sini saya meletakkan sasaran untuk mengangkat 215kg dan saya dapat lakukan angkatan lebih baik iaitu 220kg,” kata atlet berusia 29 tahun itu.

“Catatan terbaik peribadi saya adalah 212kg, apabila saya angkat 213kg terasa ringan jadi saya terus minta untuk mengangkat 220kg.

“Saya rasa gembira dengan kejayaan meraih pingat perak. Apa yang saya lakukan sebelum datang ke sini adalah menguatkan mental dan psikologi untuk menghadapi lawan yang jauh lebih hebat.”

Atlet kelahiran Sarawak itu turut mengakui tidak gentar ketika berdepan cabaran Abdulazeez malah sedia menghadapi juara bertahan edisi Glasgow itu pada masa akan datang.

“Ini Sukan Komanwel kedua bagi saya , sebelum ini gangsa di Glasgow, perak di sini dan siapa tahu saya ada peluang meraih emas selepas ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 10:13 PM