JONG YEE KHIE
JONG YEE KHIE
Haika Khazi

KUALA LUMPUR: Pemenang pingat perak acara powerlifting kategori heavyweight di Sukan Komanwel 2018, Jong Yee Khie bakal menjadi sandaran utama Malaysia untuk meraih pingat di Sukan Para Asia Ke-3 di Jakarta, Indonesia pada 6 hingga 13 Oktober ini.

Selain Yee Khie, Malaysia turut akan diwakili dua atlet lain di Sukan Para Asia nanti iaitu pemenang pingat perak kategori berat badan bawah 107kg Piala Dunia Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC), Mohd Shamil Md Saad dan pemegang rekod dunia powerlifting junior, Bonnie Bunyau Gustin.

Ketua jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan akhir dan peningkatan prestasi ditunjukkan ketiga-tiga anak buahnya dengan sasaran utama adalah untuk menang sekurang-kurangnya satu pingat gangsa di Sukan Para Asia Jakarta 2018 nanti.

“Sasaran sekurang-kurangnya satu gangsa di Sukan Para Asia Jakarta 2018 adalah amat realistik berdasar peningkatan positif prestasi mereka ketika beraksi di Kejohanan Powerlifting Para Dunia Terbuka Asia-Oceanea di Tokyo, Jepun, awal bulan ini.

“Tambahan pula ketika ini Yee Khie menduduki tangga keempat dalam ranking atlet powerlifting para terbaik dunia dalam kategori bawah 97 kilogram di belakang atlet Iran, Seyedhamed Solhipouravanji; Mohammed Khamis Khalaf dari Emeriah Arab Bersatu (kedua) dan Abdulazeez Ibrahim dari Negeria (ketiga).

“Justeru, saya enggan meletakkan sasaran terlalu tinggi kerana bimbang ia akan memberikan tekanan tambahan kepada atlet yang bakal mewakili Malaysia ke Sukan Para Asia 2018 nanti,” katanya ketika ditemui di sini sebentar tadi.

Bagaimanapun, Jamil berkata beliau tetap optimis bahawa ketiga-tiga atlet powerlifting Malaysia berkenaan mampu mencipta kejutan dan meraih lebih daripada satu pingat biarpun sedar ia memang amat sukar dan memerlukan keajaiban berlaku berikutan cabaran hebat daripada peserta negara lain.

“Saya juga yakin ketiga-tiga atlet Malaysia ini mampu melakukan angkat lebih baik dan memecahkan rekod peribadi serta mencapai kemuncak prestasi masing-masing apabila turun beraksi di Sukan Para Asia 2018 Jakarta nanti.

“Malah, Yee Khie mampu menang emas di Sukan Para Asia Jakarta 2018 jika boleh mempamerkan aksi luar biasa dengan melakukan angkatan melebih 230kg berbanding rekod peribadi terbaiknya 220kg yang dibuat di Sukan Komanwel Gold Coast, baru-baru ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Jamil berkata pencapaian ketiga-tiga atlet powerlifting di Sukan Para Asia Jakarta 2018 juga penting bagi membolehkan pihak persatuan menilai sejauh mana keupayaan dan potensi sebenar mereka untuk kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:49 PM