PELUMBA PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin perlu teruskan momentum sedia ada pada pusingan seterusnya. - Foto SIC Racing Team
PELUMBA PETRONAS Sprinta Racing, Adam Norrodin perlu teruskan momentum sedia ada pada pusingan seterusnya. - Foto SIC Racing Team
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Pengurus pasukan PETRONAS Sprinta Racing, Johan Stigefelt mahu pelumba negara, Adam Norrodin meneruskan momentum sedia ada pada pusingan seterusnya - fokus saingan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, 22 April ini.

Ahad lalu, Adam menamatkan perlumbaan Moto3 di GP Argentina dengan berada di tangga kelima selepas memulakan saingan dari petak keempat, hanya 9.112 saat dari pemenang dari pasukan Redox PruestelGP, Marco Bezzecchi.

Meskipun beraksi dalam keadaan litar basah, pencapaian diraih Adam di Sirkit Termas de Rio Hondo itu adalah yang terbaik dalam kariernya di Moto3 sejak 2016.

“Keadaan sangat rumit sebelum perlumbaan. Ia penuh mendebarkan kerana kami tidak pasti 100 peratus jenis tayar yang harus dipilih, tetapi pada akhirnya kami memilih tayar basah.

“Ia tidak mudah dan mungkin motosikalnya juga tidak sempurna 100 peratus, jadi Adam sudah melakukan tugasnya dengan baik sekali dengan menamatkan saingan di tangga kelima, keputusan terbaik yang pernah diraihnya.

“Kredit untuk Adam kerana mampu menguruskan penggunaan tayar dengan baik sekali dan mengutip mata yang baik.

“Kami berada di landasan yang baik, harap kami dapat meneruskan momentum ini,” kata pengurus berusia 42 tahun dari Sweden itu.

Untuk rekod, Adam menamatkan perlumbaan di Circuit Of The Americas, Austin di tangga ke-19, manakala rakan sepasukannya dari Jepun, Ayumu Sasaki di kedudukan ke-18.

Perlumbaan ketika itu dimenangi Romano Fenati dari Marinelli Rivacold Snipers dengan catatan, 27'15.841s.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 11:34 AM