AFP

London: Christian Benteke (gambar) menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan ketika Aston Villa mengatasi West Brom 2-1 awal pagi semalam bagi menghadiahkan kemenangan pertama pengurus baru Tim Sherwood pada aksi Liga Perdana Inggeris.

Gol penyerang Belgium itu membantu Villa menang kali pertama dalam liga sejak 7 Disember lalu, melonjakkan pasukan itu tiga mata di atas zon penyingkiran dan menamatkan rentetan tujuh kekalahan berturut-turut.

Sherwood, pengganti Paul Lambert yang dipecat bulan lalu, meraikannya dengan penuh ghairah selepas wisel penamat dalam apa dilihat sebagai permulaan kepada usahanya mengelakkan Villa tersingkir ke liga bawahan buat kali pertama dalam tempoh 28 tahun.

“Kami melepaskan gol lewat menentang Stoke (kalah 1-2 pada 21 Februari lalu) dan ia satu tamparan hebat, tapi menjaringkan satu gol lewat satu perasaan gemilang dan kami memang berhak menang,” ujar Sherwood.

“Kami meningkat dalam setiap perlawanan dan masih bernafas. Ia sebuah kelab besar dan tidak sepatutnya kami berada di kedudukan ini.

“Kami tidak menang dalam 12 perlawanan Liga Perdana dan saya fikir kami berhak meraih tiga mata.”

Gabriel Agbonlahor meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-15 di Villa Park, meluru menyambut hantaran pendek Benteke sebelum menguis bola melepasi Ben Foster.

West Brom menyamakan kedudukan pada minit ke-66 apabila sepakan sudut Chris Brunt ditanduk ke arah gol oleh Julian Lescott dan Saido Berahino menanduk masuk gol ke-18 peribadi musim ini.

Namun Villa meraih kemenangan pada minit ke-94, dengan Benteke merembat masuk sepakan penalti selepas Foster mengasari Matthew Lowton.

Villa kini tiga mata di depan pasukan ketiga tercorot Queens Park Rangers manakala West Brom kendalian Tony Pulis kekal di tangga ke-13.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 8:47 AM