SKUAD bola keranjang wanita negara rangkul emas di KL2017.
SKUAD bola keranjang wanita negara rangkul emas di KL2017.
Devinder Singh

Kuala Lumpur: Skuad bola keranjang wanita negara sudah bersedia berdepan pertarungan ‘fizikal’ pada temasya Sukan Komanwel Gold Coast, bermula Rabu ini.

Sebagai antara pasukan paling kecil dari segi saiz badan dalam saingan membabitkan lapan negara itu, Malaysia perlu menangani kekurangan itu sebaik mungkin.

Menurut kapten Nur Izzati Yaakob, satu-satunya cara terbaik bagi mengatasi lawan Kumpulan B iaitu Jamaica, New Zealand dan India adalah dengan menggunakan aset kepantasan dan banyak membuat penyudah lontaran jauh.

“Kami tidak boleh menandingi lawan dari segi fizikal tapi kami boleh mengatasi mereka dengan kepantasan,” katanya yang menjadi sebahagian daripada pasukan memenangi pingat emas Sukan SEA 2015 dan 2017.

“Kami juga perlu mempertajamkan penyudah lontaran dan lebih agresif ketika bertahan.”

Pengendali negara, Yoong Sze Yuin turut mengekalkan 10 pemain daripada skuad Sukan SEA lalu dalam barisan 12 pemain kali ini dan menetapkan cabaran untuk anak buahnya mara ke separuh akhir.

Tiada langsung pemain dalam pasukan itu pernah beraksi di tahap tertinggi lebih daripada Sukan SEA dan Izzati percaya Sukan Komanwel menawarkan platform untuk melihat sejauh mana Malaysia berada di pentas dunia.

“Kami akan mencuba sebaik mungkin pada setiap perlawanan untuk mencapai sasaran,” katanya.

“Kami mengharungi persiapan yang baik di Jepun yang mana perlawanannya berintensiti tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 9:28 AM