PENDATANG baharu, Akademi Monspace Honda Racing sedia kejar pasukan berpengalaman.
PENDATANG baharu, Akademi Monspace Honda Racing sedia kejar pasukan berpengalaman.
Fadhli Ishak


PENDATANG baharu, Akademi Monspace Honda Racing menetapkan sasaran lima terbaik untuk pelumbanya dalam penampilan sulung Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini yang akan membuka tirainya di Tangkak, Johor Sabtu ini.

Pengarah Monspace, Johari Mohd Yusof percaya ia adalah sasaran realistik selepas mempertimbangkan potensi yang diperagakan pelumbanya sebelum ini.

Pasukan itu akan mempertaruhkan tiga pelumba pada musim ini - Muhd Qhuwarismi Mohd Nasir dan Ahmad Idham Khairuddin dalam kelas CP115 selain Akmal Zumali bagi kelas Wira KBS.

"Kami sudah mengikuti perkembangan pelumba ini sejak tahun lalu sebelum menandatangani mereka. Akmal jelas lebih cetek pengalaman berbanding dua pelumba lain tetapi mempunyai potensi yang besar," kata Johari.

"Qhuwarismi juga menjalankan tugas dengan baik dalam Kejuaraan Superbike Malaysia (250cc) tahun lalu sementara Idham pula menduduki kelompok 10 terbaik dalam Asia Talent Cup.

"Justeru, kami menetapkan sasaran lima terbaik untuk ke semua pelumba kami dan berharap mereka mampu mencabar kelompok pencabar depan.

"Jika mereka beraksi baik, kami akan mempertimbangkan untuk menyertai Kejuaraan Superbike Malaysia selepas ini."

Sementara itu, Johari menambah akademi dan pasukan itu ditubuhkan bagi menyediakan platform yang betul untuk pembangunan pelumba.

Monspace berpangkalan di Elite Speedway, USJ dan bercadang untuk menganjurkan Siri Mini GP di sana selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 8:45 PM