COSTA (kanan) berjaya perdaya penjaga gol Argentina, Sergio Romero (kanan) pada aksi persahabatan di Madrid, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE
COSTA (kanan) berjaya perdaya penjaga gol Argentina, Sergio Romero (kanan) pada aksi persahabatan di Madrid, awal pagi tadi. - Foto EPA-EFE
Reuters

MADRID: Sepanyol memalukan Argentina 6-1 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi tetapi jurulatih, Julen Lopetegui enggan pemainnya mengambil mudah cabaran pada Piala Dunia di Russia.

Kemenangan bergaya di Stadium Wanda Metropolitano itu yang dibantu hatrik Isco mengukuhkan lagi reputasi Sepanyol sebagai salah satu pasukan pilihan di Russia.

Diego Costa yang kembali menyertai kesebelasan utama buat kali pertama dalam lapan perlawanan antarabangsa menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-11 hasil rembatan dalam kotak penalti.

Isco kemudiannya menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-26 sebelum pemain Argentina, Nicolas Otamendi merapatkan jurang tujuh minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Babak kedua perlawanan menyaksikan penguasaan menyeluruh pasukan tuan rumah dengan jaringan Thiago Alcantara, pemain gantian Iago Aspas dan dua gol Isco melengkapkan malam derita Argentina yang beraksi tanpa Lionel Messi yang mengalami kecederaan.

"Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan ke atas naib juara Piala Dunia lalu. Argentina adalah lawan yang memiliki sejarah fantastik. Apapun, itu semua tidak boleh dijadikan ukuran. Kami perlu memulakan perlawanan Piala Dunia dengan mata kosong dalam peringkat kumpulan," kata Lopetegui.

Kekalahan memalukan itu menimbulkan kebimbangan terhadap pertahanan Argentina dengan jurulatih, Jorge Sampaoli perlu mengatasinya dalam masa kurang tiga bulan sebelum Piala Dunia bermula.

"Saya bertanggung jawab di atas kekalahan ini,” kata Sampaoli.

Beliau mungkin terlalu mengharapkan Messi yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan hamstring.

"Leo berlatih bersama kami tetapi kakinya masih kurang selesa,” katanya.

Sergio Aguero dan Angel Di Maria juga cedera tetapi masalah Argentina ialah kurang mencipta peluang sementara ketajaman penyudah pemain Sepanyol Costa, Isco dan Marco Asensio sukar dibendung.

Kemenangan itu juga bermakna Sepanyol telah menjaringkan gol dalam semua 18 perlawanan antarabangsa di bawah kendalian Lopetegui sekali gus rekod baru buat jurulatih Sepanyol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 8:05 AM