PEMAIN Sepanyol meraikan jaringan Illarramendi (kanan). -Foto EPA
PEMAIN Sepanyol meraikan jaringan Illarramendi (kanan). -Foto EPA
Reuters

PEMAIN tengah Real Sociedad, Asier Illarramendi menjaringkan gol antarabangsa pertamanya ketika memberikan kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Israel dalam kempen kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.

Kemenangan dalam Kumpulan G itu melengkapkan kempen kelayakan Piala Dunia Sepanyol kepada sembilan kemenangan dalam 10 perlawanan.

Illarramendi meledak gol menerusi rembatan jarak jauh yang memecah kebuntuan pada minit ke 76, apabila bijak memanfaatkan bola hasil sepakan penjuru Sepanyol yang berjaya dikeluarkan lawan.

Sepanyol sudah layak ke Russia selaku juara kumpulan dan motivasi mereka hanya untuk terus mendapatkan kedudukan lebih baik pada undian Piala Dunia pada Disember ini, dengan juara 2010 itu kini berkedudukan ke-11 ranking dunia, bulan lalu.

Israel pula gagal ke saingan playoff selepas menamatkan kedudukan di tangga keempat kumpulan dengan 12 mata, satu di belakang Albania di tangga ketiga.

Itali menamatkan kempen mereka di tangga kedua kumpulan dengan 23 mata.

Jurulatih Julen Lopetegui membuat sembilan perubahan berbanding skuad yang menang 3-0 mengatasi Albania awal pagi Sabtu lalu, dengan hanya Sergio Busquets, yang tampil kali ke-100 buat Sepanyol serta kapten, Sergio Ramos mengekalkan tempat mereka.

“Kami sedar ia adalah perlawanan yang sukar kerana sebab yang berbeza, tetapi kami mahu menang untuk langkah seterusnya bagi mencari mentaliti kemenangan yang boleh membantu kami memenangi Piala Dunia,” kata penjaga gol Sepanyol, Pepe Reina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 9:52 AM