YING HO
YING HO
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

BEREGU ping pong wanita negara, Ying Ho dan Karen Lyne menyalakan harapan untuk mara ke separuh akhir ketika wakil lain terkandas di pusingan ketiga.

Pada aksi suku akhir di Oxenford Studios hari ini, mereka menundukkan gandingan tuan rumah Lay Jian Fang-Miao Miao 9-11,13-11,11-9,11-9 dan bakal bertemu beregu India, Manika Batra-Mouma Das.

Terdahulu mereka menewaskan gandingan Fiji, Grace dan Sally Yee 11-3,11-7,11-6 pada pusingan ketiga.

“Saya amat terkejut. Baru kali pertama saya menyertai pertandingan sebesar ini dan terus mara ke separuh akhir,” kata Karen yang baru berusia 15 tahun.

“Biarpun berdepan sokongan hebat penyokong Australia, saya tidak lagi gementar seperti semalam.

Bagi Ying, sikap tenang banyak membantunya untuk memenangi perlawanan itu.

“Saya terlalu memberi tekanan terhadap diri sendiri, jadi jurulatih meminta supaya saya bertenang dan menikmati permainan. Kami tidak lagi melakukan banyak kesilapan.”

Sementara itu dalam aksi beregu campuran gandingan Javen Choong-Karen tewas kepada Samuel Walker-Denise Payet 10-12,6-11,11-8, 2-11 manakala satu lagi beregu wanita Alice Chang-Tee Ai Xin tewas kepada beregu tuan rumah Michelle Bromley-Melissa Tapper 2-11, 10-12,11-9, 7-11.

Dalam aksi beregu lelaki, gandingan Javen-Lee Chee Feng tewas 7-11,11-9, 8-11, 5-11 kepada Quadri Aruna-Segun Toriola dari Nigeria.

Nasib sama turut menimpa Ying yang turut beraksi dalam perseorangan wanita tewas kepada Lay Jian Pang dari Australia 11-8, 5-11, 7-11, 2-11, 5-11, begitu juga Alice yang tewas kepada pemain Singapura Zhou Yihan 11-7,11-7,11-7, 8-11, 5-11, 4-11, 9-11.

Perseorangan lelaki Chee Feng pula tewas kepada pemain India Harmeet Desai 5-11, 7-11 ,5-11, 11-7, 4-11 manakala Ashraf Haiqal Rizal tewas 3-11, 5-11, 7-11, 7-11 kepada pemain Singapura Gao Ning.

Sementara itu atlet paralimpik negara Mohamad Azwar Bakar tewas kepada pemain Wales, Joshua Stacey 10-12,7-11,6-11 sekali gus menutup peluangnya mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 9:18 PM